Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jenazah Pengerusi Tetap Wanita Umno Tan Sri Napsiah Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Jawa, di sini, pada 12.40 tengah hari ini.

Bacaan talkin disempurnakan oleh Pegawai Eksekutif Masjid Jamek Yamtuan Raden, Mohd Taufik Kamaludin.

Seramai 500 orang terdiri daripada anggota keluarga dan rakan hadir di tanah perkuburan itu bagi memberikan penghormatan terakhir.

Antara yang hadir ialah ialah Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz, isteri bekas perdana menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Seri Hasan Malek.

Terdahulu, jenazah Napsiah dimandi dan dikafankan di Masjid Taman TAR, Ampang Jaya, dekat Kuala Lumpur sebelum dibawa ke Surau Tuanku Muhriz Kampung Jawa, di Kuala Pilah untuk bacaan tahlil serta disolatkan.

Napsiah meninggal dunia pada 6.10 petang semalam akibat barah hati pada usia 74 tahun di rumah anak lelakinya di Ampang Jaya.

Allahyarhamah yang meninggalkan empat anak iaitu seorang lelaki dan tiga perempuan pernah menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1982, Menteri Perusahaan Awam (1987), Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Sosial (1990) serta Anggota Majlis Eksekutif Negeri Sembilan (1995-1999).

Napsiah menyertai Umno cawangan Kuala Pilah pada 1972 sebelum menjadi Anggota Parlimen Kuala Pilah selama empat penggal sejak 1982.

Beliau kemudian menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah selepas menewaskan Ruslan Kassim daripada PKR dengan majoriti 2,818 undi pada pilihan raya umum ke-10 pada 1999. -Bernama

Lihat Komen
ADS