Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bantu Mahathir capai Wawasan 2020, kata Wan Saiful

PRU14 | Pada awalnya Wan Saiful Wan Jan, dahulunya penganalisis politik, terkejut apabila dicalonkan di kerusi Parlimen Pendang di Kedah.

Namun beliau yang kini timbalan ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU merasakan untuk membuat penampilan pertama dalam pilihan raya, apatah lagi "ibu segala pilihan raya" ini, ada baiknya untuk melakukannya di kampung halaman sendiri.

"Saya berharap diberi peluang untuk menyumbang di tempat saya dilahirkan.

"Secara terus-terang, pada mulanya saya agak terkejut...Tetapi pada masa sama berterima kasih kerana permintaan saya dipenuhi pimpinan parti," katanya kepada Malaysiakini dalam wawancara di Langkawi.

Beliau pada mulanya dikatakan akan bertanding di kerusi Parlimen Titiwangsa, berdepan Menteri Kewangan II sementara Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Sebagai 'orang baru', beliau mengakui pada mulanya agak khuatir namun selepas turun sendiri ke lapangan, beliau merasa bersemangat selepas melihat sokongan kuat daripada jentera parti di Pendang dan Kedah secara keseluruhannya.

"Dengan jentera yang kuat yang akan membantu, ia menghilangkan keresahan saya," katanya (gambar).

Bekas ketua pegawai eksekutif Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Dasar (IDEAS) itu tidak merasakan penglibatannya dalam dunia akademik sebagai batu penghalang untuk mendekatkan diri dengan masyarakat luar bandar.

Ketika membuat hubungan dalam kem Umno dan BN, Wan Saiful mendapati mereka juga tidak begitu selesa dengan apa yang berlaku sekitar Datuk Seri Najib Razak.

Sentimen dan kemarahan serupa telah dipendamnya lebih lapan tahun. Akhirnya beliau memutuskan untuk terjun ke dunia politik bagi membawa perubahan pada negara.

Pendang adalah kerusi luar bandar tetapi beliau tidak setuju apabila ada pihak - terutama dari luar - yang merasakan mereka kurang sofistikated berbanding penduduk bandar.

"Seolah-olah orang bandar ini terlalu pandai, pemikirannya terlalu jauh. Jika kita bercakap dengan orang luar bandar, kita akan sedar isu yang dibincangkan sama seperti isu di bandar - isu nyata yang memang dihadapi rakyat.

"Cabaran untuk mereka di menara gading dan dunia teori akademik adalah membuktikan ilmu yang ada boleh digunakan untuk masyarakat secara keseluruhan," katanya lagi.

Wan Saiful menafikan dirinya seorang autokrat. Beliau lahir di Alor Setar dan mempunyai ramai saudara di Kedah dan Perlis walaupun kini tinggal di Kajang, Selangor.

"Balik kampung perkara biasa, cuma kita biasa jumpa wartawan dan pembuat dasar di Kuala Lumpur maka ada merasakan saya lebih selesa di kawasan bandar. Sebenarnya saya hidup di merata tempat, tak jadi masalah," katanya.

Macam balik kampung

Cabaran sebenar buat Wan Saiful kini adalah membuktikan dirinya - dilihat sebagai orang luar - memahami isu yang dihadapi penduduk Pendang.

"Ini satu cabaran tetapi saya boleh sesuaikan diri. Ia seperti balik kampung, baik ke Kedah dan bertanding di Pendang yang tak jauh dari tempat lahir saya...Ini satu penghormatan."

Menurutnya isu utama di Pendang adalah kos sara hidup yang meningkat serta pendapatan yang rendah.

Beliau tetap berdepan tugas getir di situ kerana perlu berdepan kedua-dua calon Umno dan PAS.

Beliau bagaimanapun nampaknya tidak terlalu gusar dengan pertembungan tiga penjuru itu.

Penyandang Parlimen Pendang Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dianggapnya sebagai seorang kawan. Beliau juga kenal ramai anggota PAS.

"Undi Umno dan PAS akan pecah, jadi HARAPAN ada peluang untuk mendapat kelebihan dari segi undi. Namun kita tidak mengharap kepada undi pecah semata-mata.

"Tanggungjawab saya sekarang berjumpa dengan pengundi, pergi ke kawasan dan yakinkan mereka manifesto dan janji kita baik untuk mereka. Harapnya mereka sedar, terutama pengundi PAS, satu undi untuk parti selain HARAPAN adalah satu undi untuk kekalkan kuasa Najib dan Umno," katanya lagi.

Pengaruh Mahathir di Kedah

Wan Saiful berkata Mahathir memang berpengaruh di negeri itu dan Umno nampaknya bimbang dengan pengaruh yang dibawanya dalam pilihan raya kali ini.

Katanya, banyak pengundi di situ merasakan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilayan secara tidak adil oleh parti lamanya ketika disingkirkan daripada jawatan menteri besar.

"Alhamdulillah saya diberi peluang untuk membantu di sini dan pastinya mendapat manfaat daripada gelombang Mahathir dan Mukhriz. Begitu juga dengan sambutan pemimpin di sini yang memberangsangkan."

Beliau berharap kempen akan dijalankan dengan lebih berhemah dan tidak dicemari isu perkauman untuk menakutkan pengundi dan politik wang.

Walaupun Najib mengatakan soal "Cash is King", beliau menggesa lawannya dalam Umno tidak membawa budaya itu.

Beliau berkata isu perkauman tidak wujud di Pendang memandangkan ia kawasan majoriti Melayu dan calon yang bertanding juga Melayu.

"Jika Umno membawa isu perkauman yang tidak wujud...ia akan menyebabkan orang Melayu berpecah sesama sendiri. Saya harap Umno jangan jadi agen memecahbelahkan masyarakat di Pendang dan Malaysia," katanya lagi.

Dua tahun sebelum 2020

Baginya pengundi hanya ada dua pilihan, mengekalkan kerajaan yang korup atau memilih pemimpin yang dikenali pernah mengangkat negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Ini pilihan mudah dan saya harap pengundi PEndang membantu HARAPAN, bukan saya saja, memastikan Mahathir kembali menjadi perdana menteri dan memperbetul arah pentadbiran negara dan kemudian mewariskannya untuk pentadbiran akan datang.

"Lagi dua tahun (sebelum 2020) dan alangkah baiknya jika Wawasan 2020 dicapai oleh Mahathir sendiri. Saya harap pengundi di Pendang dapat membantu mencapai wawasan ini," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS