Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja Bomoh mahu cabar Zahid Hamidi di Bagan Datok
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

PRU14 l Ibrahim Mat Zin atau gelarannya 'Raja Bomoh' hari ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas di parlimen Bagan Datok dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan penyandang parlimen itu dan dijangka akan mempertahankan kerusinya.

Lebih menarik, Bagan Datok dikenali sebagai pengeluar kelapa terbesar di Malaysia. Kelapa merupakan antara buah yang menjadi alatan dalam 'upacara' Ibrahim.

Ibrahim menjelaskan dia ingin bertanding pilihan raya umum (PRU) selepas mendengar rungutan orang ramai berhubung ekonomi negara.

Menurut Ibrahim, 10 tahun lalu dia pernah diminta orang ramai bertanding di beberapa kawasan termasuklah Bagan Datoh, Hutan Melintang dan Simpang Empat.

"Mereka meminta saya jadi calon dalam pilihan raya lalu, tapi saya tolak kerana saya kata kita tengok pemimpin baru-baru yang menjaga mereka.

"Tetapi (kini) banyak juga sungutan mereka tentang ekonomi yang tidak begitu baik," katanya dalam sidang media di Ipoh.

Semalam, Ibrahim dilaporkan media akan bertanding di Perak bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan parlimen Teluk Intan.

Bagaimanapun, dalam sidang media hari ini Ibrahim menjelaskan beliau akan bertanding di parlimen Bagan Datoh memandangkan dia sendiri berasal dari situ.

Mengulas lanjut, Ibrahim menjelaskan calon yang bertanding dalam pilihan raya sering melupakan rakyat selepas menang.

"Saya pun harapkan semua (calon) parti baik. BN, PKR, PAS, DAP dan juga semua (calon) parti bebas pun baik.

"Tapi apabila mereka jadi wakil, mereka lupa rakyat," katanya yang menjelaskan bahawa wakil rakyat seharusnya berkhidmat untuk rakyat.

Ibrahim juga berjanji, sekiranya menang, dia akan sedekahkan gajinya kepada rakyat tanpa mengira kaum.

"Lima tahun saya tak mahu gaji. Buat apa nak gaji? Saya dah terkenal. Junjung kelapa dua biji satu dunia dah kenal.

"Buat apa bertanding? Saya ahli korporat. (Tapi) saya bertanding kerana saya jiwa rakyat. Saya kesian tengok rakyat pelbagai bangsa. Perjuangan saya kerana Allah," katanya.

Jumlah pengundi Bagan Datok pada PRU 2013 adalah 40,000. Zahid mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,108 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS