Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP: MB Johor masih berperangai seperti pecacai Umno
Diterbitkan:  Apr 17, 2018 5:45 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi kerusi Parlimen Kluang, Wong Shu Qi membidas kenyataan Menteri Besar Sementara Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menuduh partinya, DAP sebagai “penjajah baru”.

Menurutnya, kenyataan Mohamed Khaled hanya merendah-rendahkan tahap kecerdikan rakyat dan menggambarkan ketakutan sebenar BN terhadap angin perubahan yang sedang melanda seluruh negara.

“DAP membantah dan mengutuk kenyataan Mohamed Khaled Nordin yang berbaur perkauman, menimbulkan kebencian dan bersifat berita tidak benar, apabila menuduh DAP sebagai penjajah baru.

“Saya ingin mengingatkan Mohamed Khaled bahawa sejarah Malaysia adalah kisah perjuangan rakyat pelbagai kaum menentang penjajah untuk memerdekakan negara kita daripada cengkaman pihak asing.

“Ya, semua kaum bangkit melawan penjajah,” kata Wong yang dipetik oleh portal Roketkini.

Pemimpin DAP itu mengulas kenyataan Mohamed Khaled semalam yang menuduh DAP hanya berpura-pura baik untuk merampas kuasa Melayu dan ingin campurtangan dalam urusan Islam seperti yang pernah dilakukan oleh penjajah.

Portal itu turut memetik Wong sebagai berkata, dakwaan menteri besar sementara itu bukan sahaja tidak masuk akal tetapi juga biadab apabila menyamakan DAP dengan penjajah.

“Kenyataannya juga menghina minda warga Johor, terutamanya orang Melayu, seolah-olah mereka tidak cerdik dan akan mudah percaya apa sahaja yang dikatakan oleh pemimpin Umno seperti beliau.

“Mungkin Mohamed Khaled lupa bahawa tokoh Johor, Datuk Onn Jaafar, merupakan wira Melayu menentang penjajah yang sudi bekerjasama dengan semua kaum.

“Sedangkan Mohamed Khaled masih berperangai seperti pecacai Umno yang mencipta fitnah baru terhadap DAP.

“Sebenarnya, kita tahu Mohamed Khaled, Umno dan BN semakin panik apabila melihat gelombang kebangkitan orang Melayu menentang pemimpin beliau, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya, yang menjerumuskan negara dalam krisis ekonomi dan perpecahan rakyat,” katanya.

Menurut Wong, pemimpin Umno-BN sedar bahawa DAP kini bersama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ramai lagi tokoh Melayu dalam Pakatan Harapan.

“Fitnah “penjajah” mencerminkan betapa takutnya Mohamed Khaled setelah sedar rakyat sedang berubah arah untuk menyokong Pakatan Harapan.

“Semoga Mohamed Khaled sedar hakikat ini, dan berhenti daripada bermain politik kotor seperti menyebar fitnah dan mengapi-apikan perkauman,” katanya.

Lihat Komen
ADS