Bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin 'menyokong' kenyataan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad, pada usia 92 tahun, lebih sesuai bekerja di Klinik 1Malaysia untuk merawat pesakit secara percuma.

"Presiden PAS Hadi kata Dr M patut kerja di Klinik 1Malaysia. Ya saya sokong untuk ubati pemimpin PAS yang sasau kerana kesal kafirkan orang Umno dan berpotensi akan gila bila kalah Pilihanraya kelak," kata Zainuddin dalam suatu hantaran Twitter.

Semalam, Hadi berkata beliau bersimpati Mahathir masih terlibat dalam politik pada umur beliau.

"Patutnya dia - seorang doktor - kerja di Klinik 1Malaysia bagi rawatan percuma, buat kebajikan.

"Ini, suruh bertanding (dalam PRU), kesian dia," katanya dengan nada ketawa.

Pada sidang akhbar hari ini, Mahathir 'memulangkan paku buah keras' berkata Hadi sebaiknya menjadi ustaz dan bukan masuk politik.

Manakala itu, Zainuddin, yang lebih dikenali sebagai Zam, terus mengkritik akhbar Umno yang dimiliki Utusan Malaysia.

Beliau ialah bekas ketua pengarang Utusan Malaysia tetapi mensasarkan kritikannya terhadap akhbar itu berikutan serangan ke atas Mahathir.

Kira-kira 20 jam yang lalu, beliau menghantar suatu gambar yang memaparkan akhbar Utusan Malaysia yang tidak terjual.

"Inilah akibatnya tenggelamkan dan hinakan Tun Dr. Mahathir bertanding di Langkawi. Utusan Malaysia di sebuah kedai di Putrajaya jam 8 malam ini," ciap Zam di Twitter.

Kira-kira dua jam yang lalu, Zam menyiarkan suatu hantaran lain di Twitter yang menyatakan bagaimana tulisannya yang terdahulu telah menarik penonton besar.

"Saya tidak faham, sekadarkan catitan bergambar Utusan Malaysia yang tidak laku kerana memperkecilkan berita Mahathir bertanding di Langkawi telah dikunjungi oleh lebih 18k sehingga jam 5pm (hari) ini.

"Mungkin kerana sentimen pada Mahathir," tambahnya lagi.