Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

GLOBAL | Pihak berkuasa Thailand sedang mengumpul lebih banyak maklumat tentang seorang rakyat negara ini yang dikehendaki polis Malaysia kerana didakwa terlibat dengan kumpulan pengganas IS.

Ketua Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (NSC) Jen Wanlop Raksanor berkata, Thailand belum dimaklumkan Malaysia tentang pembabitan lelaki berusia 37 tahun dari Narathiwat itu dan hanya mengetahui perkara berkenaan melalui laporan media.

"Kami sedang menyiasat perkara ini. Saya hanya mendapat tahu tentang perkara ini melalui laporan berita. Setakat ini, pihak berkuasa Malaysia belum menyampaikan sebarang maklumat kepada kami (tentang lelaki berkenaan)," kata Wanlop kepada Bernama sebelum menghadiri mesyuarat mingguan Kabinet di Rumah Kerajaan di Bangkok hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand juga akan menyiasat sama ada lelaki itu memiliki kerakyatan Thailand dan Malaysia atau sering berkunjung ke Timur Tengah.

Wanlop berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan dikeluarkan Ketua Polis Negara Tan Sri Fuzi Harun semalam tentang usaha polis untuk menjejaki tiga rakyat Malaysia dan seorang rakyat Thailand, yang menurut beliau "disifatkan sebagai berbahaya."

Polis Malaysia mengenal pasti rakyat Thailand itu sebagai Awae Wae-eya dari Cho Airong di Narathiwat.

Tiga rakyat Malaysia yang disebut dalam kenyataan Fuzi semalam ialah Nor Farkhan Mohd Isa, 31, dari Skudai, Johor; Muhamad Hanafi Yah, 51, dan Muhamad Faizal Muhamad Hanafi, 29, dari Kampung Ketil, Pengkalan Kubor.

Empat suspek itu dipercayai merancang untuk menyerang tempat ibadat bukan Islam dan menculik serta membunuh anggota polis.

Menurut Fuzi, enam anggota kumpulan pengganas sama ditangkap Polis Cawangan Khas di Johor antara 27 Februari dan 1 Mac 2018 lalu.

Di sebalik konflik berlarutan di selatan Thailand yang meragut 7,000 nyawa sejak 2004, Bangkok berulang kali menyatakan negara ini bebas daripada sebarang ancaman melibatkan Daesh dan tiada seorang pun ditangkap kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas itu.


-Bernama

 

Lihat Komen
ADS