Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 | Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya memenangi kerusi Parlimen Pagoh sebanyak tujuh kali, dengan majoriti kukuh, di atas 12,000 undi di bawah panji BN dan dengan kekuatan kerajaan persekutuan di belakangnya.

Tetapi Muhyiddin bakal menghadapi cabaran baru dalam pilihan raya umum ke-14, memandangkan beliau akan mendapatkan mandat baru sebagai pemimpin pakatan pembangkang Pakatan Harapan (HARAPAN).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dijangka mempertahankan Pagoh disahkan oleh Setiausaha Johor Bersatu Osman Sapian malam ini.

"Ya, sudah tentu," kata Osman kepada pemberita ketika di Johor Bahru. Pengumuman rasmi dijangka dibuat pada 19 April di Pagoh.

Seorang bekas timbalan perdana menteri dan menteri besar Johor, Muhyiddin telah membina legasi yang kuat di Pagoh dan diingati sebagai orang yang menggunakan pengaruhnya untuk mengubah kawasan itu menjadi hab pendidikan utara Johor melalui Bandar Universiti Pagoh.

Perbandaran baru ini telah menarik tiga universiti dan sebuah kolej politeknik iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Malaysia Tun Syed Nasir.

Beliau juga telah menyediakan landasan baru untuk pembangkang di Pagoh. Kini HARAPAN dapat mengadakan ceramah dan menarik ramai orang di situ.

Muhyiddin dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada Julai 2015 kerana mengkritik cara perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Abdul Razak mengendalikan skandal 1MDB.

Beliau dipecat daripada Umno pada tahun berikutnya dan kemudiannya bergabung dengan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan BERSATU.

Selain bertanding di Pagoh, Muhyiddin juga akan bertanding di kerusi DUN Gambir.

Pengumuman calon lain BERSATU untuk parlimen Johor dan kerusi negeri akan dibuat pada 19 April. Calon-calon pula akan menerima surat watikah mereka pada 25 April.

Osman berkata daripada senarai calon itu, hanya tujuh orang bekas anggota Umno, manakala 21 yang lain adalah wajah baru kepada politik.

Bersatu bertanding 10 kerusi Parlimen, dan 18 kerusi DUN di Johor.

 

Lihat Komen
ADS