Paling Popular
Terkini

PRU14 | Serangan dan fitnah kepada PAS semakin liar. Sebahagiannya agak lucu dan tidak masuk akal. Namun itulah realiti. BN menyasarkan PAS, manakala Pakatan Harapan (HARAPAN) pun tumpang dua belah kaki untuk turut sama memudahkan kerja BN mendepani PAS serta Gagasan Sejahtera.

Mereka gagal menyembunyikan kebimbangan yang semakin menjerut walaupun kepada awam mereka sebarkan propaganda konon PAS kini menjadi parti picisan dan jauh terkebelakang berbanding parti-parti lain.

Akhirnya mereka terpaksa juga mengisytiharkan perang gerila terhadap PAS supaya kemaraan parti ini dapat disekat.

Mereka tidak boleh tipu diri mereka sendiri. Bahawa ancaman besar bagi mereka bukan Umno dan BN tetapi PAS dan Gagasan Sejahtera. Justeru peratus serangan mereka yang terarah kepada PAS jauh lebih tinggi berbanding BN.

Mereka sangat takut kepada PAS yang sebelum ini mereka gelar sebagai parti “picisan”.

Mereka bagaikan buda-budak - demam takutkan hantu yang mereka sendiri reka dan kemudiannya percaya bahawa itu adalah hantu betul.

Semuanya poyo belaka

Realitinya PAS tidak mudah untuk diperkecilkan. Mereka pun tahu PAS mempunyai kekuatan asas yang sangat berpotensi untuk memenangi saingan tiga penjuru pada PRU ke-14 ini.

Berbekalkan jumlah ahli yang mencecah sejuta selain mempunyai 196 kawasan parlimen dan 7,063 cawangan di seluruh negara, PAS bukan saja menjadi antara parti Melayu Islam yang terkuat di Nusantara, bahkan Asia.

Sebab itu sungguh lucu apabila mereka mempersoalkan - dari mana PAS mendapat duit untuk bertanding 160 kerusi parlimen setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengisytiharkan hasrat parti mengenainya.

Mereka mencongak, kira-kira RM34.4 juta diperlukan oleh PAS untuk bertanding 160 kerusi. Mereka buat-buat bertanya: dari mana PAS ambil duit?

Hasrat mereka adalah untuk mencetuskan kekeliruan, dan mereka mahu sahkan bahawa memang benar PAS mengambil duit Umno.

Sedihnya, mereka terpaksa mereka-reka fitnah. Nampak macam "real", tapi seperti kana anak muda sekarang - itu poyo belaka. Bukan sahaja mereka terus gagal membawa bukti atas dakwaan yang dibuat, kini masyarakat pun sudah penat dan letih untuk mempercayai cerita karut penglipur lara mereka.

Anak-anak muda bingkas menjawab: kalau dah ahli PAS ada sejuta, secara purata setiap orang perlu infaqkan (sedekahkan) RM35 sahaja, parti boleh mengumpul sebanyak RM35 juta.

Itu belum diambil kira sumbangan korporat PAS yang tentu menyumbang pada kadar berlipat kali ganda.

Ada sugar daddy

Pada zaman dulu-dulu, PAS melancarkan derma guna kopiah dan tin Milo, kini kami melancarkan derma dengan “tin Milo maya”. Nombor akaun PAS dipaparkan pada segenap saluran media baru.

Entah berapa juta masuk setiap tahun daripada penyumbang maya. Kau apa kisah?

Kenapa tidak mereka persoalkan sahaja diri sendiri. Parti kecil setahun jagung, angin pasang besar nak bertanding banyak. Mana mereka dapat duit?

Tidak perlu pun saya sebut, semua orang tersenyum dan sudah boleh bayang wajah “sugar daddy” politik mereka.


Baca Nasrudin: Pemergian Mahfuz tak rugikan jemaah


Lebih kelakar, bagaimana dulunya mereka bermati-matian menuduh PAS terima duit daripada Umno sebanyak RM90 juta dan meyakininya bahawa ia adalah tuduhan yang benar meskipun mereka sendiri gagal mengemukakan bukti.

Kini mereka pula bertanya di mana PAS ambil duit untuk bertanding 160 kerusi parlimen sedang mengikut kiraan mereka, PAS perlukan sekurang-kurangnya RM34.4 juta.

Habis tu, bukankah kamu kata PAS ada RM90 juta? Kenapa bertanya lagi?

Ertinya, mereka sangat tahu bahawa RM90 juta itu adalah tidak benar dan fitnah semata-mata. Mereka mencipta fitnah itu untuk menjatuhkan reputasi PAS.

Mereka tiada modal lain. Mereka tiada hujah kukuh untuk berdepan dengan PAS. Kali ini mereka tersandung lagi dek kedangkalan akal mereka.


NASRUDIN HASSAN ialah ketua penerangan PAS Pusat dan penyandang kerusi parlimen Temerloh.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS