Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: Mungkin roti Dr Mahathir tak sedap
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 1:44 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan berjaya mengurus ekonomi negara dengan baik sehingga membolehkan banyak perniagaan termasuk penjualan roti dan mi sekalipun semakin maju.

Berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, beliau terus membidas Tun Dr Mahathir Mohamad, tanpa menamakan pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Ada orang buka kedai roti, 12 tahun 12 cawangan. Bila rugi meniaga jual roti, kata ekonomi negara.

“Kedai roti lain tutup? Kedai roti lain maju.

“Rotiboy maju, Gardenia maju...,” katanya dengan nada menyindir.

Dr Mahathir, semalam berkata kedainya tidak akan ditutup jika ekonomi negara baik dan tidak ditadbir Najib.

Menurutnya, di bawah pentadbiran BN dan Najib, bukan sahaja kedai roti miliknya sahaja tutup malah banyak lagi perniagaan besar lain mengalami nasib sama.

“Kalau Najib tidak lagi jadi perdana menteri dan ekonomi negara baik, The Loaf mampu hidup dan untung. Tapi kalau kita ambil penyangak, negara akan hadapi masalah.

“Bukan sahaja Loaf, banyak lagi kedai lain yang tutup, banyak pelabur lari, bukan sahaja loaf sahaja, orang lain pun kena,” kata Dr Mahathir.

Najib dalam ucapannya berkata, beliau percaya kerana ekonomi negara yang baik dan memberi contoh bagaimana perniagaan mi rebus terkenal di bandar Teluk Intan, Mi Mastan Ghani juga semakin maju.

“Yang jual mee rebus, Mazlan Ghani, yang jual mee rebus pun perniagaan maju.

“Kalau tutup kedai orang tak pergi kedai, kerajaan salah ke?

“Mungkin roti (Mahathir) tak sedap, kos terlalu tinggi ke. Mungkin banyak sebab lain,” kata Najib sambil tersenyum simpul.

Lihat Komen
ADS