Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tsunami Melayu akan tingkatkan sokongan pada PAS
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 1:47 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Sekiranya tsunami Melayu berlaku pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), ia akan meningkatkan sokongan kepada PAS memandangkan parti itu lebih besar dan berpengalaman berbanding gabungan pembangkang lain.

Menurut Ketua Penerangannya Nasrudin Hassan, tsunami itu juga berpihak kepada PAS kerana parti itu lebih tegas memperjuangkan isu berkaitan Islam seperti membawa usul pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355), lapor Berita Harian.

"Kalau tsunami Melayu dan Islam berlaku, sudah tentu ada anjakan peratusan sokongan kepada PAS kerana kita lebih besar dan berpengalaman dalam perjuangan, malah dalam beberapa isu (berkaitan Islam) pakatan pembangkang dilihat kurang tegas mempertahankan prinsip.

"Contohnya isu Akta 355 dan Akta 164 berkaitan isu pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil, mereka tidak berpihak kepada Islam.

"Begitu juga isu gejala songsang seperti pemikiran bebas dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

"Masyarakat Melayu dan Islam amat sensitif mengenainya tetapi pakatan pembangkang pula agak seimbang kerana ada komponen yang tegas mempertahankan LGBT," katanya yang dipetik sebagai berkata dalam akhbar berkenaan.

Isu tsunami Melayu timbul selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memimpin gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi mencetuskan sokongan masyarakat Melayu pada PRU-14.

Perkara itu juga disuarakan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad yang memberi amaran kepada BN mengenai kemungkinan berlaku perubahan sokongan pengundi Melayu pada BN.

HARAPAN mempertaruhkan populariti dan pengaruh Dr Mahathir untuk menggerakkan sokongan orang Melayu kepada gabungan itu pada pilihan raya umum kali ini.

Selain itu, dalam laporan sama, Nasruddin turut mengulas mengenai penggunaan logo PKR oleh DAP selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membubarkan BERSATU.

Nasruddin berkata penggunaan logo 'mata' oleh DAP dilihat bertujuan untuk mendapatkan sokongan daripada kaum Melayu.

"Apakah mereka (BERSATU) sengaja membiarkannya tidak diluluskan supaya menjadi titik permulaan menggunakan logo PKR kerana parti itu masih baru dan belum dikenali, manakala DAP mahu guna logo itu untuk mendapat sokongan Melayu," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS