Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib gesa pengundi tolak ‘makhluk kasar’ DAP
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 2:26 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menasihatkan pengundi di Teluk Intan supaya menolak calon DAP yang disifatkannya sebagai “makhluk yang kasar”

Selain itu, Najib yang juga adalah pengerusi BN berkata calon BN yang juga adalah penyandang kerusi Teluk Intan itu, Datuk Seri Mah Siew Keong adalah pemimpin yang “kurang bercakap tetapi banyak kerja”.

Isnin lalu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu ceramah mengumumkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebagai calon Pakatan Harapan di Teluk Intan.

“Ini berkaitan makhkuk yang tawar diri (di) Teluk Intan. Makhluk yang begitu kasar caranya, cukup bongkak tak macam (Datuk Seri) Mah Siew Keong.... kurang cakap (tetapi) banyak (buat) kerja.

“Saya boleh sahkan banyak kali dia (Mah) minta saya bantu Teluk Intan,” kata Najib dalam ucapannya semasa merasmikan Majlis Pecah Tanah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Jalan Changkat Jong di Teluk Intan, hari ini.

Menurutnya, pembangkang sebenarnya tidak mempunyai modal dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini tetapi banyak berkempen secara negatif.

Ini menurut Najib termasuk menyebarkan berita palsu.

“Satu contoh berita palsu, bahawa waktu Almarhum Sultan Perak mangkat, saya berada di Beijing, (China) lakukan lawatan rasmi.

“Bila dapat berita almarhum mangkat. Untuk fikir macam mana nak (pulang) supaya saya boleh balik untuk beri penghormatan, termasuk la isteri saya.

“Jadi bila keluar gambar tu, si makhluk boleh dakwa konon isteri saya hadir mesyuarat jemaah menteri. Kalau teliti gambar itu, tak ada la gambaran bilik mesyuarat menteri Putrajaya.

“Bila kita beri penjelasan tunjuk gambar, baru (Nga) padam. Orang begini tak boleh biar wakili kita di Teluk Intan,” katanya.

Susulan kejadian itu, Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengheret Nga yang kertika itu adalah ahli Parlimen Taiping ke mahkamah tetapi kemudian berjaya diselesaikan secara baik.

Di bawah syarat penyelesaian itu, Nga perlu membuat kenyataan di laman Facebook menzahirkan perasaan kesalnya yang mendalam kerana mendakwa bahawa Rosmah pada Mac tahun lalu telah mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Pemimpin DAP itu juga dikehendaki menarik balik kenyataan itu.

Kenyataan Nga antara lain, perlu berbunyi, "Saya difahamkan bahawa gambar yang dimaksudkan itu diambil di China ketika perdana menteri membuat persiapan untuk pulang ke Malaysia apabila mendapat perkhabaran tentang kemangkatan Sultan Perak, Azlan Shah, dan oleh itu, saya menyatakan perasaan kesal yang amat mendalam kerana gambar itu telah disalah anggap dan dilihat secara di luar konteks.

"Dengan semangat muhibah, saya dengan ini menarik balik komen yang dikaitkan dengan gambar tersebut dan saya berjanji untuk tidak menyiarkannya semula pada masa hadapan."

Kerusi Teluk Intan tidak boleh dianggap kubu kuat sama ada untuk DAP atau BN kerana ia pernah bertukar tangan beberapa kali sehinggalah dimenangi Mah pada 1999.

DAP hanya berjaya menawan kerusi parlimen Teluk Intan daripada Mah sembilan tahun kemudian, iaitu pada PRU ke-12.

Pada 2014 Teluk Intan menyaksikan berlaku pilihan raya kecil apabila penyandangnya Seah Leong Peng (DAP) meninggal dunia.

Mah mengalahkan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud dengan hanya kelebihan 238 undi.

Mah belum dinamakan secara rasmi sebagai calon BN untuk kerusi Teluk Intan namun Najib menyebut namanya ghari ini dan orang ramai percaya beliau akan dikekalkan di situ.

Lihat Komen
ADS