PKR dijadual menyerahkan senarai calonnya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini meringkuk di penjara.

Pemimpin parti itu memberitahu Malaysiakini bahawa senarai berkenaan hampir dimuktamadkan.

"Senarai itu sudah siap, tetapi harus diluluskan oleh bos ... kata putus adalah dengan Anwar," kata Datuk Johari Abdul ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, naib presiden PKR, Tian Chua berkata Anwar tidak akan menyaring senarai itu.

"Kami perlu memaklumkan kepadanya, tetapi bukan untuk beliau luluskannya, kami adalah organisasi demokratik," kata Tian.

Sejak akhir-akhir ini, Jabatan Penjara memperketatkan akses Anwar kepada dunia luar.

Baru-baru ini, peguam PKR, Latheefa Koya dilarang berjumpa dengan Anwar, susulan beberapa kenyataan media dikeluarkan atas namanya itu.

Namun, kenyataan media yang dikaitkan dengan Anwar masih dikeluarkan oleh PKR.

Parti itu dijangka mengumumkan senarai lengkap calonnya minggu depan.

PKR juga menamakan beberapa pemimpin Pemuda yang akan bertanding pada PRU14, tetapi tidak menyatakan kerusi mana mereka akan bertanding.

Malaysiakini difahamkan terdapat beberapa isu berhubung kerusi pemimpin tertinggi parti yang masih belum dapat diselesaikan.

Ini termasuk sama ada untuk mencalonkan isteri Anwar dan presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau anak perempuan mereka Nurul Izzah di Permatang Pauh.

Terdapat juga cadangan yang belum dimuktamadkan dengan pemimpin PKR yangakan bertanding di Johor, dengan Nurul Izzah dan Tian antara mereka yang dicadangkan itu.