Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TM larang kakitangan terlibat kempen, jadi agen pilihan raya
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

PRU14 | Telekom Malaysia (TM) mengeluarkan arahan melarang kakitangannya daripada menjadi agen mengundi dan agen pengiraan undi (PACA) pada pilihan raya umum kali ini.

Larangan itu dinyatakan dalam 'Garis Panduan Pilihan Raya Umum ke-14' yang dikeluarkan pengurusan TM pada 11 April lalu dan dihantar menerusi emel kepada semua kakitangannya, termasuk subsidiari.

Malaysiakini memperoleh salinan garis panduan itu.

"Warga keluarga Kumpulan TM dilarang bertindak sebagai agen pilihan raya di tempat mengundi atau bertindak dalam sebarang peranan untuk/bagi seseorang calon dalam sesuatu pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negeri," kata garis panduan itu.

BERSIH dan parti pembangkang sebelum ini giat berkempen agar orang ramai mendaftarkan diri sebagai PACA dalam usaha memastikan ketelusan proses pilihan raya.

Garis panduan itu juga antara lain melarang kakitangannya daripada memakai pakaian berlogo TM ketika menghadiri ceramah politik, membuat kenyataan sebagai kakitangan TM yang menyebelahi parti politik, dan menjadi perayu undi mana-mana calon ketika kempen.

Ia juga melarang logo parti politik dipamerkan pada kenderaan dan dan pakaian ketika memasuki premis TM.

'Melanggar hak demokratik'

Seorang kakitangan yang enggan dinamakan berkat arahan itu, terutama larangan menjadi PACA, adalah pelanggaran hak demokratik sebagai warganegara.

"Bagaimana anda boleh kata kami dilarang melibatkan diri dalam hal demokratik dan sah ini hanya kerana kami bekerja dengan anda?

"Tak mengapa jika anda melarang pemakaian logo TM atau subsidiari ketika (terlibat dalam kegiatan politik) agar syarikat tidak dilihat menyokong mana-mana pihak.

"Tetapi untuk melarang saya menjadi PACA di luar waktu kerja, sebagai seorang warga, ini mengarut. Mereka mengenakan larangan tidak berasas kepada kami sebagai pekerja," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini telah menghubungi unit komunikasi korporat TM, yang berjanji akan memberi maklum balas berhubung perkara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS