Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Sesiapa pun boleh bertanding di Bagan Datok

PRU14 | Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Bagan Datok pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Zahid, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen itu berkata, terserah kepada pengundi Bagan Datok sendiri untuk menentukan parti atau individu yang akan memberikan kesinambungan serta perkhidmatan yang terbaik.

“Saya tentunya tidak dapat menolak parti atau individu yang berniat untuk bersama-sama memberi makna demokrasi di Bagan Datok ini.

“Tentu sekali rakyat Bagan Datok boleh menilai siapakah pemimpin bermusim yang datang setiap kali musim menuai tiba. Oleh kerana Bagan Datok tiada musim buah, kita cuma ada kelapa dan kelapa sawit maka ‘musim buah’ tidak seharusnya tiba di Bagan Datuk,” katanya pada sidang media selepas makan tengah hari di Restoren Basha di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman Presiden Persatuan Seni Silat Gayung Ghaib Malaysia (PSSGGM), Ibrahim Mat Zin, 68, atau lebih dikenali sebagai 'Raja Bomoh Malaysia' semalam untuk bertanding di Parlimen Bagan Datuk sebagai calon bebas.

​​​Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid meminta agar anak muda yang berhijrah ke bandar supaya pulang mengundi pada 9 Mei ini.

“Yang duduk luar dari Bagan Datok baliklah mengundi kerana hari berkenaan telah diumumkan sebagai cuti umum,” katanya.

Pada PRU ke-13 Ahmad Zahid menang kerusi Parlimen Bagan Datok dengan majoriti 2,108 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRU ke-14 pada 9 Mei manakala penamaan calon pada 28 April.

-Bernama

Lihat Komen
ADS