'Pengundi luar K'tan akan balik meskipun merangkak'
PAS yakin pengundi luar Kelantan akan tetap pulang untuk menunaikan kewajipan mereka meskipun hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 ditetapkan pada hari Rabu, 9 Mei.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS percaya rakyat Kelantan masih ingat pesanan bekas menteri besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta mereka pulang meskipun dalam "keadaan merangkak".
“Rakyat Kelantan telah diasuh, sejak dari dulu lagi, ini bukan kali pertama pilihan raya umum dibuat pada hari bekerja.
“Rakyat Kelantan yang duduk di luar telah diajar sejak bertahun-tahun seperti Tuan Guru Nik Aziz kata: kalau ada kereta naik kereta. Kalau tak ada (kereta) naik motosikal. Kalau tak ada motosikal naik basikal. Kalau tak ada apa-apa, merangkak balik.
“Itu motivasi ditanam oleh Tuan Guru Nik Aziz pada rakyat Kelantan. Sayangkan negeri mereka akan balik,” katanya kepada pemberita selepas sidang media PAS di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, hari ini.
SPR sebelum ini menetapkan 28 April (Sabtu) sebagai hari penamaan calon, diikuti 5 Mei hari pengundian awal dan 9 Mei sebagai hari mengundi.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 11 hari, berbanding 15 hari pada PRU13.
Takiyuddin menambah beliau yakin tarikh 9 Mei tidak menjejaskan pengundi luar Kelantan untuk balik mengundi.
“Saya difahamkan tempahan bas-bas sudah dibuat, di Sabah ada dah beli tiket. Jadi tidak jejaskan (PRU). Saya yakin,” katanya.

