PRU14 I Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam meramalkan sokongan kaum India kepada BN akan mengatasi sokongan kaum Melayu, Cina dan kaum lain dari segi peratusan.

Menjelang pilihan raya umum ke-14 yang akan diadakan kurang daripada sebulan, Subramaniam berkata sokongan masyarakat India kepada parti pemerintah itu kini pada tahap 65 peratus.

"Peratusan sokongan India terhadap BN lebih tinggi berbanding kaum lain berdasarkan purata nasional," kata Dr Subramaniam pada sidang akhbar selepas pelancaran manifesto parti itu di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur hari ini.

Pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata sokongan masyarakat India kepada BN adalah sekitar 48 peratus.

Dr Subramaniam, yang merupakan menteri kesihatan, menjelaskan angka 65 peratus itu diperoleh selepas melakukan tinjauan di lapangan terhadap kira-kira 800,000 orang India.

"Kami tahu amanah itu dengan kami. Kami sedang memperhebatkan kempen kami untuk memastikan bahawa sokongan ini, yang jelas berdasarkan kajian kami, diterjemahkan sebagai undi dalam pilihanr raya," katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun enggan menggunakan istilah "tsunami India" bagi merujuk sokongan kaum itu kepada BN.

"Saya tidak akan menyebutnya tsunami tetapi saya fikir akan ada lebih banyak sokongan untuk BN dari masyarakat India (dalam pilihan raya ini)," katanya.

Tukar kerusi

Sementara itu, Bernama memetik Dr Subramaniam sebagai berkata beliau tidak menolak kemungkinan mengenai pertukaran kerusi antara parti itu dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini sebagai strategi bagi memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dr Subramaniam juga mengumumkan enam daripada sembilan kerusi parlimen yang akan ditandingi oleh MIC – Sungai Siput (Perak), Tapah (Perak), Segamat (Johor), Kapar (Selangor), Kota Raja (Selangor) dan Cameron Highlands (Pahang).

Beliau yang juga Menteri Kesihatan yakin bahawa parti itu dapat mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highland walaupun Parti Progresif Penduduk (MyPPP) menunjukkan minat untuk bertanding di kerusi tersebut.

"Kita akan bertanding sembuilan kerusi parlimen dan 18 kerusi dewan undangan negeri pada PRU14,” kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Taman Sentosa di Klang hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendiidikan Tinggi Datuk P Kamalanathan dan Ketua Bahagian MIC Kota Raja Datuk RS Maniam.

Ketika diminta memberi butiran mengenai kerusi lain yang melibatkan pertukaran dengan parti komponen, Dr Subramaniam meminta media menunggu pengumuman rasmi daripada Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN mengenai perkara itu.

Beliau berkata adalah penting bagi semua pemimpin parti komponen BN untuk mematuhi keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi BN mengenai pengagihan kerusi.

"Sebagai contoh, jika Umno memutuskan untuk bertanding di mana-mana kerusi MIC, kami akan memberi laluan kepada mereka dan ini adalah perkara biasa dalam BN.

“Matlamat kita ialah untuk memenangi pilihan raya umum," kata beliau.