Ketua Pemuda BN Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd Razlan Rafii memberi amaran kepada Pakatan Harapan agar berhenti mensabotaj dengan menurunkan bendera BN, atas alasan bimbang tidak dapat menjamin keselamatan mereka.

“Saya beri amaran kepada HARAPAN agar jangan terus melakukan perbuatan mensabotaj aset BN, kerani kami khuatir jika tidak dapat menjamin keselamatan mereka yang berani melakukan perkara ini secara berterusan,” kata Razlan kepada Malaysiakini.

Razlan, yang juga adalah ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, mengulas tindakan tiga wanita yang ditangkap polis kerana menurunkan bendera BN di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Razlan mendakwa wanita berkenaan sebagai penyokong pembangkang dan beberapa kereta "terlibat dalam arahan HARAPAN” itu.

Polis semalam menahan tiga wanita yang didakwa menurunkan bendera BN di Jalan Leong Yew Koh dan kemudiannya memasukkannya ke dalam sebuah beg plastik dan menghantarnya ke balai polis berdekatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata wanita berkenaan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik.

Menurutnya, mereka menurunkan bendera berkenaan kerana dewan bandaraya tidak memberi respons berhubung aduan bahawa bendera dinaikkan sebelum tempoh berkempen yang rasmi.

Razlan walau bagaimanapun menafikan kenyataan itu dan berkata wanita berkenaan adalah orang suruhan pembangkang yang mahu menjaga “bos yang mengarahkan mereka.”

“Saya nak bawa dia ke kawasan yang ada bendera PKR dan minta dia dan kawan-kawan dia untuk buka bendera PKR,” katanya.

Tempoh berkempen secara rasmi bermula pada hari penamaan calon pada 28 April ini. Kebanyakan pihak berkuasa tempatan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, melarang bendera parti daripada dinaikkan sebelum tarikh berkenaan.