Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno bukan pertubuhan haram, kata Tengku Adnan
Diterbitkan:  Apr 18, 2018 7:12 PM
Dikemaskini: 11:23 AM

Dakwaan Umno pertubuhan politik haram dan tidak sah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tular hingga menimbulkan keresahan di peringkat akar umbi tidak sepatutnya berlaku kerana parti itu mematuhi peraturan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata lanjutan masa yang diberikan RoS kepada Umno untuk mengadakan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi Umno bagi 2017 merupakan kuasa tambahan RoS yang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Beliau berkata RoS diberi kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan kuasa tambahan mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 yang berkuat kuasa pada 10 Jun 1988.

Tengku Adnan berkata surat RoS bertarikh 31 Okt 2017 yang dialamatkan kepada pejabat Setiausaha Agung Umno membenarkan pemilihan Majlis Tertinggi diadakan selewat-lewatnya pada 19 April tahun depan.

"Justeru itu, Umno menghormati dan akan sentiasa mematuhi kebenaran yang telah diberikan oleh RoS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Adnan juga menggesa anggota Umno supaya kekal komited, fokus dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar Barisan Nasional dan Umno pada pilihan raya umum itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 9 Mei ini manakala penamaan calon pada 28 April.

- Bernama

Lihat Komen
ADS