Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Seri Subromaniam Tholasy, menjelaskan bahawa kontraktor projek ECRL, China Communications Construction Company (CCCC) diberikan pelepasan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan BN, disebabkan ia berkait dengan kepentingan awam.

Timbul persoalan khususnya sepanjang yang berkaitan dengan projek-projek yang dilaksanakan oleh kontraktor tempatan dan juga segala bentuk urus niaga yang berkait dengan keperluan seharian rakyat, apakah itu tidak boleh didefinisikan sebagai mempunyai nilai kepentingan awam?

Apakah ini juga bermakna, seluruh syarikat-syarikat berkaitan dengan negara China yang menjalankan projek-projek infrasruktur dan aktiviti ekonomi di Malaysia, juga dikecualikan daripada dikenakan GST?

Secara keseluruhannya terdapat tidak kurang daripada RM312.7 bilion pelaburan syarikat-syarikat China di Malaysia (kalau itu boleh dikatakan sebagai pelaburan), meliputi hampir seluruh negeri di Malaysia, kecuali Selangor dan Pulau Pinang.

Projek-projek yang terbabit, melibatkan Perlis Inland Port (RM1.7 bilion), Kedah Oil & Petrol (RM86 bilion), Bandar QI (RM1.2 bilion), Edra Power (RM9.8 bilion), Bandar Malaysia (RM12 bilion), Melaka Gateway (RM30 bilion), Forest City (RM105 bilion), ECRL (RM55 bilion), Bukit Besi (RM2 bilion), Malaysia-China Kuantan Industrial Park Sdn Bhd (RM5 bilion) dan Kuantan Port (RM5 bilion).

Bermakna terdapat 11 buah projek mega dikuasai secara langsung atau pun secara tidak langsung oleh konsortium atau pun konglomerat China daripada negara China.

Menunjukkan bahawa negara China, melalui konglomerat China sedang melebarkan sayap dominasi ekonomi di Malaysia.

Tindakan strategik China, bukan sahaja untuk mengembangkan pengaruh ekonomi mereka, sebaliknya juga sebagai usaha untuk menyebar luaskan ideologi serta pengaruh ketenteraan mereka.

Hakikat, sekiranya pengecualian GST diberikan kepada konglomerat China ini, bermakna jutaan ringgit Malaysia telah dikorbankan semata-mata untuk membantu menjayakan perluasan ekonomi China di Malaysia.

Sedangkan rakyat Malaysia tanpa mengira status kedudukan sosio ekonomi bergelut untuk dan terpaksa membayar cukai GST.

Pemberian pengecualian cukai GST kepada kontraktor projek ECRL, bermakna negara akan kehilangan sebanyak RM320 juta, berdasarkan nilai pelaburan RM55 bilion, atas kadar cukai GST 6 peratus.

Persaingannya dengan kuasa-kuasa barat

China sedang berusaha untuk menguasai rantau Asia, khususnya Asia Tenggara dalam konteks persaingannya dengan kuasa-kuasa barat, terutamanya Amerika Syarikat.

Pertapakannnya dalam ekonomi Malaysia, merupakan sesuatu yang menjadi objektif strategik China, bagi membolehkan mereka, bukan sahaja menguasai keputusan ekonomi Malaysia, sebaliknya juga, pada jangka panjang, menjadi pendorong yang membuka jalan untuk membolehkan mereka mengawal pola politik Malaysia melalui pihak-pihak tertentu yang mempunyai kepentingan survival kuasa.

Penglibatan China dalam memperluas pengaruh ekonomi di Malaysia, mempunyai kaitan dengan tuntutan China ke atas Lautan China Selatan, kepulauan dan perairan di kawasan sekitarnya, berdasarkan peta yang diterbitkan oleh negara China pada tahun 1947/1948.

Penguasaan ekonomi China, hakikatnya merupakan perancangan jangka panjang China untuk menguasai sistem sosio-politik negara-negara Asia khususnya dan Malaysia amnya, bagi membolehkan mereka memperluaskan kuasa ketenteraan untuk mendominasi jalur rangkaian laluan Laut China Selatan dan khazanah alam yang terdapat kawasan persekitaran.


DR KAMARUDIN MUSA adalah warga Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS