Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kalau jadi calon PAS pun, Husam sokong saya juga'
Diterbitkan:  Apr 19, 2018 1:12 PM
Dikemaskini: 5:16 AM

Anak kedua bekas mursyidul am PAS Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata jika beliau hendak menjadi wakil rakyat, tidak semestinya beliau menjadi calon Parti Amanah Negara (AMANAH).

Katanya, Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Husam Musa, pernah berjanji kepadanya untuk menyokong pencalonannya, walaupun menggunakan lambang PAS.

“Kalau saya menyertai politik sekali pun, tidak semestinya AMANAH.

“Cuma kalau saya rasa nak jadi wakil rakyat pun, tidak semestinya menjadi ahli AMANAH.

“Sebab Haji Husam kata kalau PAS lantik saya jadi calon, dia akan sokong juga kerana pada pandangan dia, saya mewakili pandangan Tok Guru (Datuk Nik Aziz Nik Mat),” katanya dalam wawancara dengan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya keputusannya untuk bertanding pilihan raya jika mendapat kebenaran ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Selepas diura-urakan akan bertanding sebagai calon AMANAH di Chempaka, yang pernah disandang arwah bapanya, Nik Omar berkata tidak dapat berbuat demikian kerana larangan ibu.

Adiknya yang juga pemimpin muda PAS, Nik Abduh, juga disebut-sebut bakal bertanding di kawasan sama.

Sementara itu, Nik Omar juga berkata beliau nampak pembawaan Husam “lebih dekat dengan Tok Guru”.

“Namun kita kena akui manusia tidak ada yang sempurna, ada kelemahan,” katanya.

Dalam wawancara hari ini, Nik Omar bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas kecenderungan politiknya sama ada kepada PAS atau AMANAH sebagai parti serpihannya itu.

Bapa pesan kena bergabung

Bagaimanapun, Nik Omar berkata bapanya berpesan jika PAS ingin menang pilihan raya, parti Islam itu perlu bergabung dengan pihak lain.

“Sekarang PAS sendiri walaupun ada Gagasan Sejahtera, sekarang untuk membentuk kerajaan perlu bergabung.

“Saya melihat HARAPAN lebih kuat kerana mempunyai empat parti yang mempunyai kekuatan masing-masing.

“(Parti) BERSATU walaupun baru tetapi mempunyai pemimpin besar seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, PKR dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP pula menguasai pengundi bukan Islam dan AMANAH walaupun baru tetapi dibarisi dengan kepimpinan dari aktivis, jadi mereka mempunyai gabungan yang kuat,” Nik Omar dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS