Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRU14 | Walaupun dengan pertembungan tiga penjuru yang hampir pasti berlaku, Tan Sri Mohd Ali Rustam yakin BN tetap akan kekal menang di Melaka dan malah merampas kembali beberapa kerusi pada pilihan raya umum kali ini.

"Saya tengok BN boleh berjaya dengan lebih baik.

"Rakyat jangan terpengaruh macam pada PRU lalu, hingga kita kehilangan beberapa kawasan yang patut kita miliki termasuk kawasan saya (Parlimen Bukit Katil)," kata bekas ketua menteri Melaka itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Beliau juga berkata penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) - yang dilihat berperanan merampas undi Melayu daripada Umno - dalam pilihan raya ini belum mampu untuk menggugat BN sehingga tumbang di negeri itu.

"Walaupun ada sejumlah orang yang ikut PPBM (BERSATU), ia tak sampai beri kesan sehingga mengalahkan kita. BN masih boleh menguasai Melaka.

"Memang ada yang seperti itu (bertukar-tukar parti) tetapi pengundi sudah boleh menganalisa dan memahami suasana (politik).

"Saya harap pengundi akan fikir yang mana betul dan yang mana salah," katanya lagi.

Antara kerusi yang diyakininya akan kembali ke tangan BN adalah Parlimen Hang Tuah Jaya (dahulunya Bukit Katil) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil (dahulunya Bukit Baru) Pengkalan Batu (dahulunya Bachang) dan Ayer Keroh.

"Ayer Keroh pun nampak ada peluang walaupun pengundi Melayu hanya 40 peratus. Dahulunya pengundi Melayu hanya 30 peratus tetapi kita boleh menang.

"Cuma sejak dua PRU lalu pembangkang menang di sana tetapi penduduk tak dapat apa-apa," katanya.

Pada PRU ke-13, PAS menang di DUN Bukit Baru dengan majoriti hanya 48 undi, manakala DUN Bachang dan Ayer Keroh dimenangi DAP dengan majoriti 2,672 dan 7,943 undi.

Beliau yang pernah menjadi ketua menteri Melaka selama 13 tahun juga tewas di Parlimen Bukit Katil pada PRU lalu.

Dilihat sebagai antara keputusan mengejutkan pada pilihan raya itu, beliau tewas kepada Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin (ketika itu menjadi ketua pemuda) dengan perbezaan 5,447 undi.

Dalam wawancara ini, Malaysiakini turut bertanya soalan sekitar PRU ke-14, seperti apa yang dikatakan sebagai 'tsunami Melayu' dan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Malaysiakini: Apakah akan berlaku tsunami Melayu pada PRU kali ini, seperti yang didakwa pembangkang?

Mohd Ali: Dalam perhatian saya di peringkat akar umbi, tak nampak undi orang Melayu kepada pembangkang akan meningkat berbanding pilihan raya lepas.

Kerana apa yang mereka dapat? PRU lalu pembangkang sudah pegang (beberapa kerusi) dan mereka tak dapat apa-apa. Mereka (pembangkang) tak jaga kebajikan rakyat, tak bantu orang sakit, orang minta bantuan persekolahan pun mereka tak tolong. Apatah lagi wujudkan peluang pekerjaan.

Malaysiakini: Pandangan tentang tindakan HARAPAN menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka?

Mohd Ali: Pembangkang tak ada calon perdana menteri, sehingga pakai calon (asal) Umno juga. Jika mereka pun tiada calon (sendiri), macam mana nak tadbir Malaysia?

Dulu mereka mengata Mahathir, hari ini nak beliau jadi perdana menteri. Memang tak masul akal. Dan itu juga menunjukkan (HARAPAN) setuju dengan apa yang Mahathir, Umno buat dulu.

Malaysiakini: Ada orang yang sokong tapi ketika pilihan raya tak undi Tan Sri kerana Umno terpalit dengan kontroversi. Apa pandangan Tan Sri dengan hal ini?

Mohd Ali: Apa pula parti masalah, parti kita bagus. Orang tuduh BN tak bagus dan pilih pembangkang, Apa yang mereka dapat?

Dulu mereka tak sokong saya sebab tak suka BN, jadi selepas lima tahun apa yang mereka dapat?

Sokong BN dapat macam-macam, jadi mereka kena fikir balik.

Malaysiakini: Tan Sri pernah berkhidmat bawah Mahathir dan kini bersama Datuk Seri Najib Razak. Apakah perbezaan kepimpinan mereka?

Mohd Ali: Kita mesti tegakkan keadilan dan kebenaran. Dalam soal betul dan salah ini Najib sangat tegas.

Apa yang betul (tetap) betul dan apa yang salah (tetap) salah. Kita kena berpegang dengan prinsip.

Tetapi Mahathir dulu cakap Datuk Seri Anwar Ibrahim tak bagus, tiba-tiba sekarang bagus pula. Dulu kata DAP tak bagus, sekarang mereka sudah bagus.

Malaysiakini: Jadi kepimpinan Najib lebih telus?

Mohd Ali: Telus dan jelas dalam soal betul dan salah.

(Sikap yang ditunjukkan Mahathir) Tak baik untuk parti. Tak boleh tiba-tiba sokong (hal yang salah) dan kata tak salah.

Malaysiakini: Kini kita lihat tokoh senior Umno seperti Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim lantang mengkritik Najib. Selaku veteran dalam politik Malaysia bagaimana Tan Sri lihat perkembangan ini?

Mohd Ali: Tidak semua tokoh lama dan senior menentang Najib. Rafidah terikut-ikut dengan cara Mahathir, begitu juga Rais.

Tetapi mereka berdua sajalah dan saya pun orang lama juga (tapi tak berbuat demikian).

Malaysiakini: Selepas keputusan PRU ke-13, Tan Sri ada berkata yang pengungdi Cina tidak hargai jasa dan sumbangan Tan Sri.

Mohd Ali: Dulu mereka mahu tukar (kerajaan), mereka kata 'ini kalilah'. Mereka sudah cuba dan nampak tak dapat apa-apa.

Jadi saya merayu kepada mereka pada pilihan raya ini kembali kepada BN dan beri peluang kepada kami.

Lihat Komen
ADS