Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shamsul mahu pertandingan semula dengan bekas KM Melaka

WAWANCARA l Pada pilihan raya umum ke-13, Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin diberi tugas yang hampir mustahil untuk menumbangkan ‘gergasi’ BN, Tan Sri Mohd Ali Rustam, ketua menteri Melaka selama hampir 14 tahun.

Mohd Ali meninggalkan kerusi DUN Bukit Baru (sekarang Bukit Katil) ke kerusi Parlimen Bukit Katil (sekarang Hang Tuah Jaya) dengan hasrat menyertai kabinet persekutuan, tetapi terkejut dengan kekalahannya.

Beliau bertindak membidas pengundi, khususnya masyarakat Cina, dengan menuduh mereka sebagai tidak berterima kasih.

Shamsul, yang tewas pada pertandingan semua pilihan raya sebelum ini - Tangga Batu pada 2004 dan Dungun pada 2008 - tiba-tiba mendapati dirinya dilabel sebagai 'pembunuh gergasi'.

Dalam satu wawancara baru-baru ini, Mohd Ali memberitahu Malaysiakini bahawa pengundi yang tidak menyokongnya pada pilihan raya umum lalu mula menyedari sokongan kepada pembangkang tidak membuahkan sebarang hasil dan sedia menyokongnya kali ini.

Hujah Mohd Ali mungkin mempunyai asas dan Shamsul juga kali ini mungkin sukar untuk mengulangi kejayaannya pada 2013 itu.

Proses persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini bukan hanya melihat Bukit Katil dinamakan sebagai Hang Tuah Jaya, tetapi juga beberapa pusat mengundi yang memihak pembangkang dipindahkan keluar dari kerusi itu.

Lima pusat pengundian - Taman Melaka Baru, Batu Berendam, Taman Merdeka, Taman Asean dan Malim Jaya - secara kolektif membentuk 13,831 undi PKR dan 5,856 undi BN pada pilihan raya umum lalu.

Dengan andaian corak pengundian yang sama, persempadanan itu akan menyaksikan Shamsul yang menang dengan majoriti 5,447 undi pada 2013 kehilangan 7,975 undi dengan proses persempadanan itu. Bahkan proses itu memberikan kemenangan kepada BN dengan lebihan 1,242 undi.

Shamsul, dalam satu wawancara, mengakui bahawa beliau ada berfikir untuk berpindah kerusi, bukan kerana takut dirinya tumbang di Hang Tuah Jaya, tetapi kerana khidmatnya diperlukan oleh Pakatan Harapan di Johor.

Beliau berkata sekutu PKR telah mengerahkan pemimpin kanan mereka seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (BERSATU), Salahuddin Ayub (AMANAH) dan Lim Kit Siang (DAP) untuk menggempur kubu Umno di Johor itu.

"Jadi sekarang kita memerlukan seseorang dari kepimpinan pusat PKR di selatan Johor," katanya.

Walau bagaimanapun, Shamsul berkata beliau sedia untuk tetap di Hang Tuah Jaya jika Mohd Ali sedia bertanding di kerusi itu sekali lagi.

"Sekiranya dia (Mohd Ali) mahu bertanding di sana, saya akan mempertahankan kerusi saya atau akan ada persepsi bahawa saya melarikan diri," katanya kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS