Najib: Semua terjejas jika HARAPAN berkuasa
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata dasar Pakatan Harapan jika dilaksanakan, akan menyebabkan pasaran saham dan mata wang negara runtuh.
Ini katanya, kerana pelbagai janji HARAPAN seperti untuk menghapuskan tol, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan dasar sedemikian akan menyaksikan negara terpaksa mengambil hutang tambahan RM400 bilion.
Beliau berkata ini akan mengakibatkan hutang negara naik mendadak daripada 50.8 peratus kepada 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.
“Apa kesannya? Kesannya buruk, bursa saham (Bursa Saham Malaysia) akan jatuh, nilai mata wang akan terjejas.
“Apa jadi? Rakyat akan terjejas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Batu Pahat, hari ini.
Najib berkata Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang menguruskan dana Amanah Saham, termasuk pelaburan dalam pasaran saham, juga akan terjejas.
“Ini bukan main-main, ini bukan sesuatu boleh jadikan bahan politik semata-mata nak raih undi.
“Kita tidak boleh bersifat populis... kita mesti bertanggungjawab,” katanya.
Najib juga mengulangi satu analisis yang ditontonnya di televisyen dengan berkata bahawa menghapuskan GST tidak semestinya akan menyaksikan kejatuhan harga barangan.
Sebaliknya, Najib berkata apabila beliau mengumumkan manifesto BN, agensi penarafan telah bertindak balas secara positif.
“Alhamdulillah, bila saya bentangkan manifesto BN pada malam 7 April baru-baru ini ... antara kesan positifnya tiga badan penarafan telah mengkaji semula kadar pertubuhan negara kepada lebih positif.
“Antaranya Bank Dunia menyemak semula kadar petumbuhan dari 5.4 peratus kepada 5.6 peratus untuk negara ini. JP Mogan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) antara badan-badan yang lebih optimis tentang pertumbuhan eknomi negara. Bererti bahawa manifesto kita itu dalam penilaian yang tinggi.
“Sebaliknya mereka tak sebut sama sekali manifesto pembangkang sebab apa? Sebab tidak ada nilai yang terkandung dalam manifesto mereka,” kata Najib.

