Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pentadbiran kerajaan di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan lebih banyak pengecualian cukai kepada projek-projek mega hingga menyebabkan kerugian langsung kepada kerajaan, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy hari ini.

Ini berbeza dengan keputusan kerajaan sekarang memberikan pelepasan kepada China Communications Construction Company (CCCC) daripada membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), yang mana jabatan itu berkata ia memberi manfaat kepada kerajaan dan orang ramai.

Subromaniam berkata bukan sahaja projek-projek mega di zaman Mahathir dikecualikan daripada cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), malah ia juga dikecualikan daripada duti import.

"Dan kenapa sekarang baru perkara ini perlu menjadi isu besar?

"Kerajaan di bawah pimpinan-pimpinan dahulu banyak berikan pelepasan dan pengecualian untuk projek lain termasuk projek yang kita kerajaan Malaysia pernah berikan termasuk semasa pimpinan Mahathir.

"Bagi projek perkhidmatan yang diluluskan, bukan sahaja cukai jualan (SST) dikecualikan tapi juga duti import

"SST adalah sistem cukai seperingkat, apabila diberi pengecualian, kerajaan hilang nasib terus, memang merugikan kerajaan. Tetapi kerajaan masih berikan (pengecualian).

"Tapi di bawah GST, berbeza sedikit. Apabila diberi pelepasan, mereka tak lagi dibenarkan untuk menuntut kredit import cukai, tak ada refund (pemulangan) yang diberikan

"Sebenarnya, melalui pelepasan cukai yang diberikan kepada ECRL, kerajaan sebenarnya membuat keputusan yang terbaik, lagi memberikan manfaat kepada rakyat," kata Subromaniam pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kastam di Putrajaya.

Projek-projek yang dikecualikan daripada SST semasa era Mahathir termasuk terowong Smart, Stadium Sukan Nasional Bukit Jalil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek keretapi laju Express Rail Link Sdn Bhd (ERL).

Subromaniam mengadakan sidang akhbar hari ini bagi memberikan penjelasan berhubung persoalan mengapa kerajaan sekarang mengecualikan GST kepada firma pembinaan China, CCCC.

Pengecualian cukai itu pertama kali didedahkan kepada orang ramai oleh Naib Presiden AMANAH Husam Musa pada Selasa lalu.

Lihat Komen
ADS