‘Permohonan maaf kepada Najib tiada kaitan rayuan mahkamah’
Pengarah Urusan Supermax Corporation Bhd, Datuk Seri Stanley Thai hari ini menjelaskan bahawa permohonan maafnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak ada kena mengena kes rayuannya di mahakamah berhubung kesalahan berkongsi maklumat dalaman berkaitan saham sebuah syarikat.
"Tidak. Ia langsung tidak berkaitan," katanya pada sidang akhbar hari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur, dengan jemputan media hanya diajukan kepada TV3 dan Utusan Malaysia.
Beliau juga menafikan dirinya tertekan atau diugut untuk membuat permohonan maaf itu.
Thai berdepan hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan bersalah kerana berkongsi maklumat dalaman pada tahun 2014 dan sedang dalam proses membuat rayuan.
Sabtu lalu, Thai mengadakan persidangan akhbar dan memohon maaf kepada Najib kerana menyokong pembangkang semasa pilihan raya umum 2013.
Susulan tindakan itu, bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz mengumumkan bahawa beliau meletak jawatan sebagai pengerusi Supermax.

