'Anak saudara tarik diri lawan Hadi demi keluarga'
Penarikan diri Miqdad Zakaria daripada melawan Presiden PAS yang juga bapa saudaranya di Marang dibuat atas persetujuan bersama Parti Amanah Negara (AMANAH) Terengganu.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata ia bertujuan mengelak ketegangan dan kesan jangka panjang hubungan keluarga Miqdad dengan penyandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
"Pendekatan yang paling jernih dan tertib telah diambil kerana ini pilihan raya dan kita tak nak pertalian keluarga menjadi satu isu yang boleh memberi kesan jangka panjang bagi keluarga Ustaz Miqdad dan Tok Guru Haji Hadi.
"Kita tak naklah kerana pilihan raya akan beri kesan kepada keluarga untuk jangka panjang, institusi keluarga dalam Islam pun lebih mementingkan ia dipelihara berbanding pilihan raya yang hanya akan ada lima tahun sekali," katanya kepada Malaysiakini.
Miqdad semalam mengumumkan tidak akan mencabar Hadi yang menyandang kerusi itu sejak 1995.

Bagaimanapun, terdapat sumber HARAPAN Terengganu mendakwa penarikan diri Miqdad ada kaitan dengan masalah dalaman AMANAH negeri berkenaan.
Katanya wujud rasa tidak puas hati apabila ada calon lain - dan dari luar - dibawa untuk bertanding di kawasan itu bawah tiket AMANAH.
Sementara itu, Raja Bahrin yang juga Pengerusi HARAPAN Terengganu berkata apa yang berlaku kini adalah pertembungan pilihan raya dan bukan perlawanan bola sepak.
Oleh demikian adalah tidak elok untuk anak saudara dan bapa saudara diletakkan dalam gelanggang yang sama.
"Kalau dalam pertandingan bola sepak adik beradik boleh berlawan tetapi ini bukan pertandingan bola sepak tetapi pilihan raya yang kurang eloklah kalau kita nak letakkan anak saudara dan bapa saudara dalam gelanggang yang sama.
"Jadi kita bersetuju untuk Ustaz Miqdad menarik diri dan saya pun rasa ini jalan yang terbaik untuk beliau tidak bertembung dengan bapa saudara beliau sendiri," katanya.
Diminta mengulas calon pengganti Miqdad, beliau yang juga penyandang kerusi parlimen Kuala Terengganu enggan mengulas lanjut.
Katanya, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan hanya akan diumumkan sebaik sahaja ia diputuskan.

