'Kritikan saya pada 2013 bukan ditujukan pada Najib'
Pengarah Urusan Supermax Corporation Bhd Stanley Thai hari ini mendakwa kritikannya yang dibuat ketika musim pilihan raya umum (PRU) 2013 tidak ditujukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Sekarang musim pilihan raya, jadi ia masa yang sesuai untuk saya jelaskan situasi sebenar pada PRU lalu, (kritikan yang saya buat) tidak merujuk kepada kerajaan yang memerintah ketika itu," katanya pada sidang media di hotel di Kuala Lumpur hari ini.
"Golongan seperti saya yang lahir pada 1960an dan 1970 terkesan dengan dasar kerajaan yang memerintah sebelumnya. Jadi saya fikir elok saya minta maaf kepadanya," katanya.
Jutawan itu bagaimanapun enggan menyebut nama perdana menteri atau dasar yang dimaksudkannya.
"Pilihan raya akan menjelang, jadi saya tidak mahu pihak yang satu lagi libatkan saya," katanya.
Dalam wawancara pada 2013 dengan Bloomberg, Thai berkata dia menyokong pembangkang "untuk melindungi masa depan anak-anaknya".
Dia juga mendakwa rakyat Malaysia berbangsa Cina sudah tidak lagi takut melawan kerajaan BN selepas PRU 2008 yang menyaksikan kerajaan tidak mendapat sokongan yang besar.
[Berita lanjut menyusul]

