'Najib ikut nasihat kastam lulus pelepasan GST'
Menteri Kewangan mengikut nasihat Jabatan Kastam Diraja Malaysia apabila meluluskan pelepasan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi firma China Communications Construction Company (CCCC) bagi projek landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy semasa sidang akhbar hari ini.
Menteri kewangan adalah perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.
"(Beliau berbuat demikian) atas cadangan kami, setelah mempertimbangkan kebaikan dan keburukan, sama ada ia bermanfaat kepada kerajaan dan kepada rakyat Malaysia.
"Kami tidak mudah mengesyorkan pengecualian atau pelepasan cukai tanpa sebarang asas.
"... Ia adalah kuasa beliau, ia adalah kuasa menteri kewangan untuk menandatangani (pelepasan GST).
"Tetapi menteri kewangan biasanya akan bertindak atas nasihat agensi pelaksana serta pembuat dasar di Kementerian Kewangan," katanya di ibu pejabat Kastam di Putrajaya hari ini.
Subromaniam mengadakan sidang akhbar hari ini bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul berhubung langkah kerajaan memberikan pelepasan kepada CCCC daripada membayar GST.
Perkara itu didedahkan kepada orang ramai oleh Naib Presiden AMANAH, Husam Musa pada Selasa lalu.
Menerusi Facebook, Husam memuat naik dokumen berkaitan, termasuk sijil pelepasan GST yang menyatakan kuasa menteri kewangan untuk berbuat demikian.

