Financial Times jangka BN menang
PRU14 I Kumpulan penyelidikan FT Confidential Research (FTCR) meramalkan BN akan mengekalkan cengkamannya pada pilihan raya umum, 9 Mei ini walaupun sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) semakin meningkat.
FTCR, penyelidik Financial Times yang berpangkalan di London berkata badan itu menemui bukti ketidakpuasan hati kaum Melayu terhadap Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya.
Penyelidik kanan firma berkenaan Hafiz Noor Shams berkata tinjauan FCTR pada April di negeri penduduk majoriti Melayu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan utara Perak menunjukkan kekecewaan mereka terhadap keadaan ekonomi.
"(Tinjauan) menunjukkan bahawa lebih daripada separuh daripada 252 responden mempunyai pandangan negatif terhadap keadaan ekonomi semasa, manakala kurang suku perempat kata mereka gembira.
"Apabila ditanya keadaan politik di utara, separuh daripada mereka berkata tidak berpuas hati dengan keadaan sekarang berbanding kurang suku perempat yang mengatakan sebaliknya," jelas beliau.
Markah rendah terhadap Najib
Selain itu, kaji selidik suku pertama melibatkan 1,000 responden di bandar seluruh Malaysia, menunjukkan penarafan terhadap Najib kekal rendah manakala ramai yang menerima idea agar Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, FTCR berkata salah satu sebab mengapa ia berpendapat BN dan Najib akan kembali berkuasa adalah disebabkan persempadanan semula pilihanraya.
Laporan itu berkata langkah itu membantu gabungan pemerintah menyusun semula pengundi Melayu dalam kerusi kecil, terutama di pinggir bandar, tetapi pada masa sama "melonggokkan" kaum lain ke kubu pembangkang di bandar.
"Strategi ini hanya akan berkesan jika tahap sokongan orang Melayu kekal pada 2013. Ayunan (swing) Melayu yang besar ke arah HARAPAN akan merumitkan usaha BN untuk meningkatkan majoriti.
"Adalah sukar untuk menilai skala ayunan mendatang, yang tokoh pembangkang panggil sebagai 'tsunami Melayu'," kata laporan itu.
'HARAPAN naikkan defisit'
Pada tahun 2013, BN memenangi 60 peratus daripada kerusi Parlimen walaupun memenangi hanya 47 peratus undi popular, yang menunjukkan bagaimana gerimander direka untuk membantu kemenangan BN.
Sekiranya HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan yang akan datang, FTCR menjangka kerajaan baru sukar mencapai belanjawan seimbang yang disasar pentadbiran sekarang pada tahun 2023 dan menanggung defisit yang lebih tinggi.
Laporan itu menyatakan HARAPAN berusaha menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari, yang dijangka FTCR akan mengakibatkan defisit fiskal 2.9 hingga 3 peratus daripada KDNK, bertentangan dengan sasaran Najib mengurangkan defisit 2018 kepada 2.8 peratus daripada tiga peratus tahun lepas.
Janji HARAPAN berkongsi pendapatan cukai persekutuan dengan negeri dan memperkenalkan semula subsidi bahan bakar juga akan meningkatkan defisit, kata laporan itu.
"Bagaimanapun, walaupun pembangkang melakukan kejutan yang ketara, langkah-langkah seperti itu akan mengambil masa dan mungkin akan berlaku seawal tahun 2019," kata laporan itu.

