Umno Pagoh tolak dakwaan sabotaj ceramah Dr M
Pemangku ketua bahagian Umno Pagoh, Ismail Mohamed menolak dakwaan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN mensabotaj sebuah jalan menghala ke tapak ceramah yang akan menampilkan Tun Dr Mahathir Mohamad
Ismail, yang pernah menjadi timbalan Muhyiddin di bahagian Umno Pagoh berkata, kerja-kerja membetulkan jalan raya tiada hubungan dengan majlis ceramah itu dan BN Pagoh tidak pernah mengganggu kegiatan Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Rasanya pembangkang nak buat provokasi. Kalau penyokong dia orang nak datang.. apa juga halangan tentu datang. Kalau mereka dah tak nak datang, jangan salahkan pihak lain.
"Kami pun tak pernah kacau pembangkang di Pagoh hendak buat program. Yang penting kita berkempen secara harmoni dan saling menghormati fahaman politik masing-masing," Ismail (gambar) berkata kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Jabatan Kerja Raya (JKR) sengaja menggali jalan Panchor-Grisek untuk mengganggu trafik menuju ke arah majlis ceramah Mahathir yang dijadual berlangsung malam ini.
Dia mendakwa jalan itu sentiasa berada dalam keadaan baik sebelum ini.
Namun demikian, seorang warga tempatan yang ditemui Malaysiakini berhampiran suatu tempat di jalan Panchor-Grisek yang sedang dibaik-pulih itu berkata jalan tersebut telah lama rosak.
"Jalan ini dah lama rosak, selalu lubang-lubang, kereta rosak kerana ini," kata warga tempatan itu memberitahu Malaysiakini dengan syarat enggan namanya disiarkan.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah melantik seorang kontraktor swasta untuk membaik-pulih jalan raya.
Malaysiakini mendapati jalan sepanjang satu kilometer itu telah rosak. Jentera projek baik-pulih jalan juga diletakkan di tepi jalan.
Jalan raya yang rosak itu terletak kira-kira dua kilometer dari tempat ceramah di Kampung Sri Tanjung, Pagoh.

