Kajian: Populariti Najib rendah di bandar, Mahathir mendahului
Kajian oleh Financial Time menunjukkan populariti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak lebih rendah di kawasan bandar.
Keputusan kajian itu disimpulkan dalam carta oleh FT Confidential Research (FTCR) melalui tinjauan melibatkan 1,000 responden bandar di seluruh Malaysia menunjukkan populariti Najib hampir mencapai 10 peratus bagi suku pertama (Q1) tahun ini.
Laporan FTCR bertajuk "Pilihan raya Malaysia akan terjadi kejutan" yang diterbitkan hari ini tidak menunjukkan angka sebenar populariti Najib.
Bagaimanapun, carta itu jelas menunjukkan penurunan sokongan terhadap Najib dari 80 peratus pada suku keempat (Q4) 2015 kepada 50 peratus Q1 tahun ini.
FTCR tidak memperincikan kaedah yang digunakan dalam tinjauan itu.
Sebaliknya, tinjauan Merdeka Centre melibatkan 1,028 pengundi Semenanjung yang dipilih berdasarkan latar belakang secara rawak pada Mei 2010 menunjukkan populariti Najib berada pada tahap 72 peratus.
Penghujung 2014 pula, tinjuan Merdeka Centre menunjukkan populariti Najib berada di bawah 50 peratus. Populariti Najib selepas itu tidak lagi diterbitkan oleh laman web Merdeka Centre.
Sementara itu, carta yang dikeluarkan FTCR menunjukkan 31.1 peratus responden tidak menolak Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekali lagi.
Hanya 22.5 peratus responden menolak cadangan itu sementara 46.3 peratus berkecuali.
Tinjaun lain melibatkan 252 responden dari kawasan majoriti Melayu termasuk Kedah, Kelantan, Perlis dan Hulu Perak pada bulan ini menunjukkan 51.8 peratus responden tidak berpuas hati dengan keadaan ekonomi.
Hanya 23.7 peratus responden yang gembira dengan siatuasi ekonomi sementara 24.5 peratus berkecuali.
Berhubung situasi politik semasa, 50.2 peratus responden menyatakan tidak senang hati sementara hanya 23.7 peratus yang berpuas hati.

