Ugutan MyPPP keluar BN: Zahid kata Najib ada formula
Timbalan Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada bosnya Datuk Seri Najib Razak untuk menangani ugutan Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas yang mengancam untuk membawa keluar partinya dari BN kerana tidak diberikan kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Bernama memetik timbalan pengerusi BN itu sebagai berkata bahawa beliau “memahami” tindakan Kayveas itu kerana secara peribadi mengenalinya sebagai seorang yang baik hati dan merasakan apa yang dilakukannya berkemungkinan bagi menjaga hati rakan-rakan dalam kepimpinan dan partinya.
“Saya juga telah bertemu dia dan saya telah nyatakan bahawa ada formula penyelesaian dan (dengan) menjadi calon bukanlah penyelesaian muktamad.
“Ada beberapa kaedah untuk memberikan peluang kepada parti berkenaan untuk berada dalam anggota pentadbiran dan juga di dalam badan-badan lain di bawah kerajaan Malaysia,” kata Zahid pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit 4, Sungai Sumun di Bagan Datuk, hari ini.
Pada Selasa lalu, Kayveas berkata, MyPPP akan mempertimbangkan semula keahliannya sebagai parti komponen BN selepas mengadakan perjumpaan dengan Najib selaku pengerusi BN.
Beliau dilaporkan tidak berpuas hati bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan diberikan kepada MIC meskipun dirinya dan MyPPP telah berkhidmat di sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kayveas juga menolak kerusi Parlimen Segambut yang ditawarkan kepada MyPPP oleh BN.
Terdahulu dalam majlis hari ini, Zahid, tanpa menyebut nama, berkata sebarang kenyataan berbaur ugutan yang dikeluarkan oleh mana-mana pemimpin parti komponen BN tidak dialu-alukan.
Ini kerana, katanya, ia boleh menggugat keharmonian dalam parti.
Menurutnya, sebagai pemimpin daripada parti komponen, mereka harus mempunyai pendirian dan menghormati piagam BN sebagai paling utama melebihi keutamaan lain.
“Sudah tentu kepimpinan BN memperkirakan tentang persetujuan terhadap kerusi-kerusi yang tertentu, sama ada ia dipinjamkan buat sementara waktu atau ditukarkan dengan kerusi lain.
“Akan tetapi, jika pemimpin berkenaan mahu terus berkeras, saya yakin akhirnya beliau akan menerima hakikat bahawa kesatuan di dalam BN adalah sesuatu yang harus diberikan keutamaan,” katanya.
Menurut Ahmad Zahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, adalah lumrah politik pada setiap kali pilihan raya umum masalah sedemikian terjadi dan bukan sahaja kepada BN, malah pihak pembangkang turut mengalami masalah berkenaan.
Justeru, beliau melahirkan keyakinan bahawa Najib mempunyai formula untuk mengendalikan masalah tersebut selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagaimana yang telah dilaksanakan kerajaan selepas berakhirnya PRU sebelum ini.
Malah, katanya, Umno pernah berkorban kerusi kepada calon parti komponen BN bertanding pada PRU lalu kerana pucuk pimpinan dan seluruh anggota parti yakin bahawa setiap individu berkenaan diyakini mewakili BN.
“Jadi, kemenangan parti manapun tetap mewakili BN dan melambangkan bahawa mana-mana calon yang bertanding selagi ia berada di dalam komponen BN, maka ia harus disokong oleh semua ahli dan kepimpinan parti,” katanya.

