Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kontraktor utama ECRL peruntuk RM23 juta untuk latihan

China Communications Construction Company Ltd (CCCC), kontraktor utama projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) telah menyatakan komitmennya untuk memperuntuk RM23 juta bagi Program Latihan Kemahiran Industri ECRL sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya.

Pengarah Sistem Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Lee Heng Cheong berkata, syarikat itu, bersama-dengan CCCC telah melancarkan program tersebut, yang akan menyaksikan sehingga 3,600 pelajar dilatih mulai 2017 hingga 2022,

"Setakat ini, 49 telah lulus sebagai profesional dan 138 lagi sebagai pekerja mahir. Kami mempunyai 129 profesional dan sub-profesional dan 130 pekerja mahir yang sedang menjalani latihan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa taklimat kemajuan ECRL kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Pangkalan Kem ECRL, Seksyen 7 di Bentong, hari ini.

Menurutnya, projek RM55 bilion yang dijangka siap pada Jun 2024 tersebut dijangka menjana kira-kira 80,000 pekerjaan dalam tempoh tujuh tahun pembinaannya, dengan 20,000 hingga 30,000 pekerja pada masa puncaknya.

Sehingga Februari, 215 syarikat tempatan telah dilantik untuk pembinaan ECRL. Mereka terdiri daripada 26 firma perunding, 99 pembekal dan 90 kontraktor.

Lee berkata, CCCC akan terus memberi keutamaan kepada bahan binaan dari firma tempatan.

"Sekurang-kurangnya 30 peratus kerja kejuruteraan dan pembinaan akan dijalankan oleh kontraktor tempatan bagi memastikan pembinaan ECRL memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

"Kira-kira 70 peratus daripada tenaga kerja adalah tempatan manakala selebihnya dari China dan negara Asia lain. Sebahagian daripada 2,700 kakitangan kini bekerja di pelbagai tapak di negeri-negeri pantai timur," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS