K'jaan UK 'bincang' isu pilihan raya bebas dengan Malaysia
Menurut jawapan parlimen di dewan rakyat UK, negara itu baru-baru ini 'berbincang' dengan kerajaan Malaysia tentang pentingnya pilihan raya bebas dan adil di Malaysia.
Menteri UK bagi urusan Asia dan Pasifik Mark Field berkata dia juga bimbang dengan pelulusan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang digazetkan minggu lalu.
Field berkata demikian sebagai mengulas tiga soalan berasingan daripada anggota parlimen Cynon Ann Clwyd yang bertanya kepada Pejabat Komanwel dan Hal Ehwal Luar UK berhubung situasi politik di Malaysia menjelang PRU selain kesan persempadanan semula dan akta antiberita palsu.
Jawapan balas Field bertarikh 17 April boleh dibaca di laman web parlimen UK.
"Kita terus mengikuti situasi politik di Malaysia secara dekat. Ketika lawatan saya ke Kuala Lumpur minggu lalu, saya dengan berhubung perubahan kawasan pilihan raya dan akta antiberita palsu.
"Saya maklum bahawa terdapat kebimbangan berhubung kedua-dua isu ini. UK tetap menegaskan pentingnya pilihan raya yang bebas dan adil selain perbahasan politik yang bersemangat.
"Kita juga menggalakkan Malaysia menjemput pemerhati luar sebelum pilihan raya pada 9 Mei," katanya dalam sau jawapan balas.
Dalam dua jawapan balas lain, Field berkata UK sedang memantau kesan persempadanan semula dan akta antiberita palsu, selain mengadakan perbincangan pentingnya pilihan raya bebas dan adil dengan "pimpinan tertinggi" kerajaan Malaysia.
Field menyatakan kebimbangan berhubung akta antiberita palsu yang boleh memberi kesan kepada kebebasan berekspresi dan menyifatkan ia diluluskan tanpa rundingan awam dan perbahasan.
"Kami memantau perkembangan dengan dekat, bekerjasama dengan kesatuan Eropah dan sekutu luar lain dan bersedia untuk melakukan sebarang perwakilan yang diperlukan," katanya.

