Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PRU14 I Walaupun sedang menghadapi perbicaraan kes rasuah, setiausaha agung DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Air Putih pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketika membuat pengumuman berkaitan kerusi Parlimen Bukit Bendera dan tiga kerusi DUN hari ini, pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata anggota majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang Chris Lee Chun Kit, 36, akan menggantikan penyandang kerusi DUN Pulau Tikus Yap Soo Huey sebagai calon bagi kerusi itu.

Katanya penyandang kerusi Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari, 36, akan bertanding bagi kerusi DUN Tanjung Bungah, manakala kerusi Parlimen itu akan ditandingi Wong Hon Wai, 45, yang merupakan setiausaha politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang pada PRU13.

"Inilah calon yang dipilih parti bagi PRU14 untuk bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bendera dan tiga kerusi DUN di kawsaan itu," katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman itu di George Town hari ini.

Kerusi Parlimen Bukit Bendera mengandungi empat kerusi DUN iaitu Tanjung Bungah, Air Putih, Kebun Bungah dan Pulau Tikus, tetapi kerusi DUN Kebun Bungah ditandingi calon PKR, yang memenangi kerusi itu melalui Cheah Kah Peng pada pilihan raya umum lepas.

Zairil, yang juga naib pengerusi DAP Pulau Pinang, memenangi kerusi Parlimen Bukit Bendera pada pilihan raya umum lepas dalam pertandingan menentang calon Barisan Nasional (BN) Teh Leong Meng dengan meraih majoriti 32,778 undi.

Pada PRU13, penyandang kerusi DUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu menang kerusi itu dengan majoriti 5,515 undi ketika menentang calon BN Datuk Seri Chia Kwang Chye dan calon Bebas Beh Seong Leng.

Bagi kerusi DUN Air Putih, Lim, yang menyandangnya selama dua penggal, menang dengan majoriti 7,744 undi ketika menentang calon BN Tan Ken Keong pada pilihan raya umum lepas.

Bagi kerusi DUN Pulau Tikus, penyandangnya, Yap, yang memilih untuk tidak mempertahankan kerusi itu kerana melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat. Beliau memenangi kerusi itu pada 2013 ketika menentang calon BN Rowena Yam dengan majoriti 8,220 undi. -Bernama

Lihat Komen
ADS