PAS bersedia untuk berubah
PAS perlu menukar wajah menjadi sebuah parti "Malaysia" jika ia bercita-cita untuk memerintah negara ini.
PAS perlu menukar wajah menjadi sebuah parti "Malaysia" jika ia bercita-cita untuk memerintah negara ini.
Ketua Pemudanya, Salahuddun Ayub berkata, dengan hanya memberi tumpuan kepada negeri-negeri Melayu di pantai timur dan utara sahaja, tidak mungkin PAS boleh membentuk kerajaan pusat.
Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah memberi gambaran dan menyakinkan rakyat bahawa ia mahu menjadi pemerintah negara dan bukannya sekadar menguasai negeri-negeri majoriti Melayu sahaja.
Beliau berkata, PAS perlu menyakinkan rakyat bahawa pemerintahan PAS lebih baik daripada pemerintahan kerajaan yang ada sekarang ini.
"Kita tidak lagi boleh bercakap untuk mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan menawan Terengganu, Kedah dan Perlis seperti yang diperkatakan selama ini.
"Jika hanya empat negeri itu yang menjadi keutamaan kepada parti maka selama-lamanya PAS tidak akan memerintah negara ini," katanya dalam temubual khas dengan malaysiakini.
"Kalau kita hanya berada dalam kelompok itu sahaja PAS akan gagal. PAS perlu pergi kepada kumpulan sasar iaitu semua negeri dan bukan negeri tertentu sahaja," tambahnya.
Hiburan Islam
Sehubungan dengan itu, katanya PAS perlu menjadi sebuah parti yang lebih terbuka dalam semua bidang supaya ia mudah diterima oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, selama ini rakyat melihat PAS sebagai sebuah parti pembangkang semata-mata. Parti itu kata Salahuddin memerlukan satu pendekatan dan konsep baru yang boleh diterima oleh semua orang.
Katanya, PAS kini sedang menuju ke arah tersebut dan Pemuda PAS akan mengetuai perubahan tersebut supaya cita-cita untuk memerintah negara ini berhasil.
Beliau yang ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sikap terbuka PAS menganjurkan konsert berlandaskan syriah di Kota Bharu dan bermain boleh dengan artis lelaki baru-baru ini telah mendatangkan kesan yang baik kepada parti.
'Langkah-langkah itu menunjukkkan kita sedia untuk berubah," ujarnya.
Katanya, PAS perlu menjadi parti yang berorentasikan perkhidmatan bukan sebuah parti retorik sahaja.
"Kita mesti membantu menyelesaikan masalah rakyat supaya rakyat melihat parti ini boleh menjadi pemerintah yang baik," katanya.
Salahuddin berkata, pemimpin PAS juga perlu bersedia untuk menerima kritikan daripada mana-mana pihak untuk menjadikan parti lebih dinamik.

