PRU14 I Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menyerahkan watikah calon BN bagi Wilayah Persekutuan pada Ahad ini.

Ketua Umno bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata majlis penerimaan watikah itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Watikah akan diserahkan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor," katanya dalam pesanan teks kepada Berita Harian.

Akhbar itu juga difahamkan majlis penganugerahan watikah itu akan dijalankan serentak di seluruh negara oleh pengerusi badan perhubungan negeri masing-masing.

Raja Nong Chik turut dipetik sebagai berkata beliau sudah dimaklumkan lebih awal mengenai pemilihannya sebagai calon BN di Lembah Pantai oleh Tengku Adnan.

Terdahulu, sumber dari bahagian Umno Bandar Tun Razak memberitahu Malaysiakini bahawa pemimpin pemudanya, Adnan Abu Seman akan menerima watikah sebagai calon BN di Bandar Tun Razak pada 22 April.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan berita itu kerana empat calon berpotensi BN berkata mereka tidak dimaklumkan mengenai majlis penyerahan watikah berkenaan.

Bulan lalu, New Straits Times memetik sumber sebagai berkata perdana menteri sementara dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan senarai penuh calon BN pada 2 April, lima hari sebelum pelancaran manifesto pilihan rayanya.