Kanak-kanak 6 tahun meninggal dunia disyaki didera
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia, disyaki akibat didera Rabu lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Azisman Alias berkata mangsa, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar, setelah tidak sedarkan diri dan mengalami muntah-muntah pada lewat malam Selasa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia pada 4.07 pagi (Rabu) dan hasil bedah siasat mendapati ada kecederaan berpunca daripada objek tumpul, yang menyebabkan usus mangsa pecah dan kecederaan dalaman lain, yang menjadi punca kematian mangsa.
"Polis berjaya mengesan dan menahan ibu serta teman lelaki ibu mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di Kangar hari ini.
Suspek lelaki berumur 26 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan ibu mangsa berusia 31 tahun ditahan kira-kira 8 malam tadi ketika menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar dan direman sehingga 26 April bagi membantu siasatan.
- Bernama

