Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tercampak' ke Padang Besar, Mokhtar yakin apa saja boleh berlaku
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 5:42 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

PRU14 | Apa sahaja boleh berlaku dengan izin dan berkat daripada Allah, kata tokoh ulama PAS dan juga calon parti itu bagi PRU ke-14 Mokhtar Senik.

Semalam, ketua Dewan Ulama PAS Pahang itu diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Besar di Perlis.

Pada PRU 2013, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin menewaskan calon PAS Azamhari Mahmood dengan kelebihan 7,426 undi - majoriti terbesar antara tiga kawasan Parlimen di negeri itu.

Justeru ia boleh dianggap sebagai kubu BN di negeri itu.

Mengulas prospek kemenangannya, Mokhtar berkata ia sedikit pun tidak menggusarkannya.

"Soal bukan anak tempatan, lokasi yang jauh dan calon saat akhir, itu bukan soal bagi saya. Begitu juga dengan majoriti besar yang diperoleh BN pada PRU lalu.

"Restu dan kehendak jemaah itulah barakah dan kejayaan. Insya-Allah dengan berkat Allah apa sahaja boleh berlaku. Mudah-mudahan akan memberi kejutan dengan kemenangan besar," katanya dalam kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.

Padang Besar merupakan kawasan Parlimen pertama dengan kod P001 dan terletak bersempadan dengan Siam.

Ia memiliki lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Mata Ayer dan Santan, dengan jumlah 41,974 pengundi (berdasarkan data PRU lalu).

Menjawab persoalan pencalonannya di situ, Mokhtar yang juga anggota jawatankuasa pusat PAS berkata ia bermula dengan pelawaan PAS Padang Besar sendiri.

Bertanding kali pertama

"Soalan pertama saya kepada Yang Dipertua (PAS) Padang Besar ialah apakah tidak ada orang yang sanggup dan berminat? Jika ada, orang itulah yang lebih layak.

"Beliau memberitahu tiada. Saya jawab, anta bincanglah dengan Pesuruhjaya PAS Perlis, maklumkan hasrat kepada Pesuruhjaya PAS Pahang dan tanyalah pandangan Setiausaha Agung dan Mursyidul Am," katanya lagi sambil menegaskan restu parti adalah perkara paling utama.

Walaupun sekian lama berada dalam hierarki PAS Pahang, ini adalah kali pertama Mokhtar bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata tidak pernah ambil kisah sama ada akan bertanding atau tidak, malah ketika menjadi Yang Dipertua PAS Paya Besar pernah menolak untuk dicalonkan walaupun diminta anggota parti di situ.

"Prinsip saya jika ada orang sanggup dan berkelayakan, biarlah dia yang bertanding. Saya hanya akan bertanding jika tiada yagn sanggup, daripada membiarkan parti musuh menang tanpa bertanding," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS