Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahfuz: PAS banyak belajar dari Najib tentang derma
Diterbitkan:  Apr 20, 2018 10:44 PM
Dikemaskini: 3:05 PM

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Mahfuz Omar menyifatkan sikap PAS berhubung sumbangan yang diterima menunjukkan parti itu telah banyak belajar daripada politik Datuk Seri Najib Razak berhubung derma yang diterima.

Mahfuz berkata, PAS seharusnya berterus terang dari awal mereka menerima sumbangan pihak tertentu dan mendedahkan individu yang memberikan sumbangan, penama yang menerima sumbangan serta jumlah sumbangan yang diterima.

"Saya ucapkan syabas kerana Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Dr Zuhdi Marzuki berlaku jujur dengan mengaku PAS menerima dana derma tersebut.

"Mengapa susah sangat mahu mengaku sebelum ini bahawa PAS memang mendapat dana dan derma? Adakah takut kepada fitnah yang dilemparkan atau takut terdedah siapa yang memberikan derma?

"PAS seharusnya berterus terang daripada awal supaya PAS tidak dilihat menyembunyikan sesuatu daripada ahli-ahli PAS. Situasi sebegini memperlihatkan PAS telah banyak belajar daripada politik Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas pengakuan Zuhdi dalam forum Sinar Harian semalam berhubung sumbangan dana RM2.5 juta yang didakwa diterima PAS.

Dalam forum itu, Zuhdi turut berkata bahawa sumbangan itu diterima daripada individu dan bukannya datang daripada Umno.

"Bekas pimpinan PAS sendiri kata kita dapat RM1.5 juta, RM1 juta dalam bank, ini adalah merupakan derma. Derma daripada individu, bukan Umno, bukan daripada Umno, bukan dari pejabat Umno," kata Zuhdi.

Duit poket ahli PAS

Mengulas lanjut, Mahfuz mengaitkan sikap PAS dengan isu RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.

"Ketika awal pendedahan sumbangan (RM2.6 bilion) itu diterima, Najib segera menafikan dan menolak tohmahan yang dilemparkan.

"Namun setelah bertali arus serangan dilemparkan termasuk bukti transaksi yang mendedahkan memang wujud sumbangan yang diterima, akhirnya beliau mengakui.

"Semacam ada persamaan situasi antara PAS dan Umno ketika ini, menerima sumbangan daripada individu, begitu mudah nafi dahulu, kemudian apabila sudah tidak mampu menangkis hujah barulah mengiyakan," katanya.

Mahfuz merujuk isu RM2.6 bilion yang didakwa Jabatan Keadilan AS (DOJ) merupakan hasil dari skandal 1MDB.

Najib bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa ia merupakan 'derma' keluarga diraja Arab Saudi.

Najib yang dispekulasikan sebagai 'MO1' dalam siasatan DOJ juga menafikan sebarang salah laku mengambil dana awam untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga telah membebaskan pengerusi BN itu daripada sebarang kesalahan.

Dalam kenyataan sama, Mahfuz juga menyelar Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang menyatakan dana pilihan raya PAS adalah hasil daripada poket 1 juta ahli-ahli PAS. 

"Apabila terbongkar derma daripada individu ini, akuilah bahawa duit poket ahli PAS adalah hanya sejumlah kecil sepertimana PAS selama ini, dan sejumlah besar lagi adalah daripada derma individu tersebut.

"Itu yang terdedah, mungkin yang belum didedahkan banyak lagi ‘derma dalam gelap’ yang diberikan oleh individu-individu lain.

"Sampai bilakah PAS terus bermain dengan penafian demi penafian, mengapa hingga tergamak PAS sanggup membohongi rakyat dan ahli-ahli PAS mengenai dana pilihanraya dan duit perbelanjaan politiknya ketika ini," katanya.

Lihat Komen
ADS