Singapura nafi setuju bina jambatan baru di Selat Teberau
Singapura menafikan ia telah "bersetuju pada dasarnya" untuk membina jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor dalam rundingan di Putrajaya baru-baru ini.
Jurucakap Kementerian Luar negara itu berkata walaupun pegawai dari kedua-dua pihak telah mengadakan pertemuan yang baik bagi membincangkan isu itu pada Rabu lalu, namun tiada persetujuan dicapai mengenai isu jambatan itu atau isu dua hala lain yang tertangguh.

"Secara khususnya, Singapura tidak bersetuju pada dasarnya terhadap pembinaan jambatan itu bagi menggantikan Tambak Johor. Laporan spekulasi seperti itu akan hanya menjejaskan matlamat semasa rundingan itu berlangsung," jurucakap itu berkata dalam kenyataannya sebagai reaksi kepada laporan akhbar New Straits Times semalam bertajuk "Rundingan Bina Jambatan Menampakkan Harapan".
Menurut laporan Bernama, pegawai kanan dari Singapura dan Malaysia bertemu di pusat pentadbiran kerajaan Malaysia itu pada Rabu lalu bagi membincangkan isu-isu dua hala termasuk pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor yang berusia 81 tahun itu yang menghubungkan kedua-dua negara.
Kementerian itu mengulangi pendiriannya bahawa langkah mendedahkan butir-butir mengenai perbincangan mengenai isu-isu tertangguh itu pada masa ini tidak akan memberi sebarang manfaat.
Rundingan Rabu lalu itu adalah yang kedua selepas yang pertama diadakan September tahun ini.
Delegasi Singapura telah diketuai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar, Peter Ho manakala Malaysia pula diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luarnya Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Menteri Luar Singapura George Yeo memberitahu Parlimen pada Isnin lalu bahawa republik itu hanya boleh bersetuju terhadap cadangan Malaysia untuk menggantikan tambak itu dengan jambatan baru sekiranya terdapat "manfaat yang seimbang" kepada kedua-dua pihak.
Beliau juga mengingatkan mengenai "implikasi serius" jika Malaysia meneruskan rancangannya membina separuh jambatan itu di bahagian Malaysia tanpa persetujuan dari Singapura.