Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa kata Najib mengenai penangguhan pemilihan Umno 2015
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 6:20 AM
Dikemaskini: Apr 21, 2018 4:44 AM

Pada 2015, Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk melanjutkan tarikh untuk mengadakan pemilihan parti itu selama 18 bulan.

Pada sidang akhbar untuk menghuraikan mengenai keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual pada 2016, Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak membaca beberapa bahagian perlembagaan Umno yang menyebutkan mengenai had lanjutan masa itu.

"Majlis tertinggi mengambil keputusan supaya pemilihan yang dijadualkan pada tahun hadapan yakni 2016 ditangguhkan selama 18 bulan, mengikut fasal 10.16 perlembagaan parti yang memberi hak kepada Majlis Tertinggi menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, bahagian dan cawangan.

"Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan," katanya pada 26 Jun 2015.

Pemilihan Umno diadakan setiap tiga tahun, dengan keputusan pemilihan terakhir diumumkan pada 20 Oktober 2013, dan diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan Tan Sri Tajol Rosli.

Ini bermakna pemilihan berikutnya datang sepatutnya diadakan, paling lewat, pada 20 Oktober 2016.

Memandangkan pemilihan itu ditangguhkan selama 18 bulan, ia bermakna bahawa mandat semasa untuk pemegang jawatan dalam Umno telah tamat semalam.

'Mohon perintah mahkamah'

Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun menegaskan bahawa ROS telah membenarkan parti itu penangguhan kali kedua - ia boleh menangguhkan pemilihannya sehingga 19 April tahun depan.

Beliau mendakwa ini telah disahkan oleh ROS dalam surat kepada Umno yang bertarikh 31 Oktober 2017.

Semalam, 16 anggota cawangan Umno memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan ROS atas alasan parti itu melanggar Perkara 9.3, 9.4, 10.16, 15.3 dan 18.2 Perlembagaan Umno dengan tidak mengadakan pemilihan pada 20 April.

Pemohon juga memohon perintah supaya ROS mengeluarkan notis di bawah Seksyen 14 (2) dan 14 (5) Akta Pertubuhan bagi pembubaran sementara dan kekal, bersama dengan satu lagi perintah mahkamah lain untuk menggantung semua aktiviti Umno.

Sebelum ini, parti-parti pembangkang telah menuduh ROS bertindak secara tidak adil dengan membubarkan sementara BERSATU dan enggan membenarkan pendaftaran Pakatan Harapan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS