Pemimpin pelajar Universiti Malaya (UM), Mohamad Fuad Mohd Ikhwan yang bebas daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kembali ke kampus hari ini untuk meneruskan pengajiannya di universiti tersebut.

"Saya mula mengikuti kuliah pagi tadi," kata Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Univerisiti Malaya (MPMUM) itu ketika dihubungi malaysiakini , tengahari tadi.

Menurut pelajar jurusan syariah itu, beliau dibenarkan mengikuti pengajiannya selepas diberitahu oleh pihak fakulti minggu lalu.

"Saya telah berjumpa dekan fakulti minggu lepas dan diberitahu, saya boleh teruskan pengajian," katanya dengan rasa syukur.

Mohamad Fuad ditangkap pada 6 Julai dan dibebaskan 10 hari selepas itu.

Berikutan itu, Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Anuar Zaini Md Zin dilaporkan berkata status Mohamad Fuad sebagai mahasiswa gugur secara automatik berdasarkan peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Budibicara

Seksyen 15 d (3) Auku, antara lain menyebut seseorang pelajar yang ditahan mengikut undang-undang berkaitan ordinan darurat atau keselamatan dalam negeri akan disingkir dan tidak dibenarkan berada atau memasuki kampus universitinya atau universiti-universiti lain.

Bagaimanapun, katanya sebarang perubahan akan tertakluk kepada budibicara Menteri Pendidikan, terhadap rayuan itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan bahawa pemimpin pelajar itu 'tidak ditahan' mengikut akta ISA, hanya beliau ditahan untuk tujuan siasatan saja..

Seorang lagi aktivis pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yang juga ditahan mengikut akta ISA selama 23 hari juga telah dibebaskan.

Khairul Anuar yang disingkir serta merta 9 Julai lalu, telah dibenarkan meneruskan pengajiannya semula semalam apabila Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, memberi kebenaran minggu lepas.