Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes pensyarah Palestin, PUM gesa siasatan terperinci
Diterbitkan:  Apr 21, 2018 4:21 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menggesa pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci dan mengesan segera individu yang terlibat dalam pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin awal pagi tadi.

Yang Dipertua PUM, Datuk Al-Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, pihaknya turut mengutuk kejadian berkenaan yang dianggap sebagai pembunuhan terancang.

Katanya lagi, beliau bimbang jika kegagalan pihak berkuasa menjejaki penjenayah itu akan menjejaskan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati.

"PUM menggesa pihak keselamatan melakukan siasatan terperinci dan mengesan segera mereka yang terlibat sebagai pembunuh dan perancang kepada pembunuhan ini untuk dibawa ke muka pengadilan.

"Modus operandi yang digunakan oleh pembunuh seperti sudah lama dirancang. Pembunuhan tersebut hampir sama dengan pembunuhan yang dilakukan ke atas Syeikh Ahmad Yassin, seorang tokoh ulama Palestin iaitu sewaktu keluar untuk solat Subuh.

"PUM berharap kejadian ini tidak terus berleluasa berlaku di dalam negara kita. Semoga negara kita terus aman dan selamat untuk seluruh rakyat yang tinggal dalam negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi, seorang pensyarah warga Palestin maut selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh, berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di tempat pejalan kaki kira-kira 6 pagi tadi.

Mazlan berkata, suspek melepaskan lebih 10 das tembakan dan pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tembakan pada kepala dan badan mangsa.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
 

Lihat Komen
ADS