'Pembunuhan imam Palestin di KL didalangi Israel?'
Tidak mustahil pembunuhan imam warganegara Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh di Kuala Lumpur semalam didalangi ejen asing, khususnya Israel, kata seorang pensyarah sains politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sememangnya tidak mustahil bahawa pembunuhan kejam ini didalangi ejen asing khususnya ejen perisikan Israel Mossad yang berjaya menyusup masuk ke negara kita seperti mana kenyataan Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” kata Abdul Muein Abadi (bawah).

Zahid semalam berkata dua suspek yang menembak mati Fadi di Setapak, Kuala Lumpur awal pagi semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan organisasi perisikan sebuah negara.
Menteri dalam negeri berkata polis Malaysia akan bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis ASEAN (Aseanapol) bagi menjejaki dua lelaki itu, yang dipercayai warga Eropah, dengan kadar segera.
Fadi maut selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh, berhampiran sebuah kondominium di Jalan Meranti pagi semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 35 tahun itu ditembak dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berkuasa tinggi di tempat pejalan kaki kira-kira 6 pagi.
Dalam tulisan panjang di akhbar web PAS Harakahdaily, Abdul Muein mendakwa Israel tidak selesa dengan peranan Fadi sebabai “jambatan” dana dari Malaysia ke Palestin.
“Masa yang dipilih juga menyokong hipotesis ini.
“Bulan Ramadan bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan pastinya dana dari Malaysia bakal mencurah-curah disalurkan ke Palestin oleh Imam Fadi jika beliau tidak dihalang,” tulis Abdul Muein.
Abdul Muein juga memersoalkan sama ada Fadi mempunyai hubungan parti politik anti-Israel Hamas, yang turut mempunyai pasukan bersenjata sendiri.
“Adakah kepakaran kejuruteraan beliau ada disalurkan ke Hamas lalu menjadi ancaman kepada rejim Zionis?” soalnya.
Berdasarkan fakta kes pula, Abdul Muein juga berkata pembunuhan itu juga mirip "pembunuhan bersasar" yang diamalkan oleh Israel sejak sekian lama.
“Mereka menyusup masuk melangkaui kedaulatan negara asing dan menjalankan pembunuhan kejam,” katanya.
Aljazeera melaporkan jurucakap Hamas, parti pemerintah di Gaza, mengesahkan arwah sebagai anggota mereka.Hamas juga menyifatkan anak Jabalia, Gaza itu juga sebagai mati syahid.
مجهولون يغتالون الأكاديمي الفلسطيني والمحاضر الجامعي د. فادي محمد البطش من جباليا شمال قطاع غزة، أثناء توجهه لأداء صلاة الفجر في مدينة "جومباك" شمال العاصمة الماليزية كوالالمبور pic.twitter.com/MfjW6ZdRHH
— قناة الأقصى الفضائية (@AqsaTVChannel) 21 April 2018.
Israel: Bukan Mossad yang bunuh
Sementara itu, Reuters melaporkan Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman menafikan dakwaan Fadi dibunuh oleh Mossad.
“Organisasi pengganas menuding jari ke arah Israel untuk semua pembunuhan – kami sudah biasa (dengan tuduhan sebegitu),” katanya kepada Israel Radio.

