Tian Chua tak tertarik ke Johor, sedia lepas Batu
PRU14 | Naib Presiden PKR Tian Chua hari ini menggambarkan dia tidak cenderung untuk bertanding di Johor dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Tian Chua juga berkata, terdapat pemimpin lain yang berminat dengan kerusi parlimen Batu yang disandangnya.
"Saya diberitahu bahawa sebagai pemimpin peringkat kebangsaan, saya patut dijemput untuk bertanding di tempat lain, seperti Johor.
"Dan saya juga diberitahu ada pemimpin lain yang berminat bertanding di sini (Batu), kerana ia dianggap kerusi selamat.
“Ia bukan kerusi selamat 10 tahun lalu, ia kubu kuat BN. PKR Bahagian Batu bekerja keras untuk menangi hati pengundi Batu. Saya yakin kita boleh pertahan kerusi Batu," katanya dalam sidang media di Batu Caves.
Menurut Tian Chua lagi, dia bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan, namun menambah cadangan berpindah ke Johor sebagai tidak masuk akal.
"Saya lihat dua kerusi utama yang kita ada (di Johor), Tebrau dan Ledang. Kedua-dua calon cadangan yang sedia ada buat kerja yang baik di akar umbi.
"Tiada keperluan untuk pemimpin utama ke sana untuk menang kerusi. Saya rasa dengan kerja baik mereka ketika ini, kita boleh menang kerusi itu.
"Tidak perlu tukar-tukar kerusi hanya nak senangkan Tian Chua. Saya serahkan kepada pimpinan untuk buat keputusan akhir. Jika saya tidak bertanding di Batu, saya tidak kisah jika tidak bertanding dalam PRU ini," katanya.
Tian Chua menegaskan dia akan terus menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) meskipun tidak bertanding.

