Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencalonan semula 4 bekas wakil rakyat beri saingan sengit di T'ganu
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 6:07 AM
Dikemaskini: 10:39 PM

PRU14 l Pencalonan semula empat bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini dilihat bakal memberi saingan sengit kepada pembangkang dalam usaha BN mengekalkan kuasa sebagai kerajaan negeri.

Keempat-empat mereka sudah pasti mempunyai kelebihan dari segi pengalaman kerana pernah menang pada PRU ke-12 pada tahun 2008 namun mereka digugurkan pada PRU ke-13 pada 2013; Datuk Abd Halim Jusoh sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Datuk Mohamed Awang Tera (DUN Chukai), Datuk Rosol Wahid (DUN Ajil) dan Datuk Din Adam (DUN Bukit Besi).

Mohamed dan Din berdepan cabaran besar untuk merampas kembali DUN Chukai serta Parlimen Dungun yang kini dimenangi PAS manakala Abdul Halim dan Rosol diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk mempertahankan kemenangan di DUN Permaisuri dan Parlimen Hulu Terengganu dengan majoriti lebih besar.

Ditemui pemberita selepas majlis pengumuman calon BN Terengganu, Rosol yang menggantikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata, pencalonannya kali ini memberi tanggungjawab yang lebih besar berbanding kerusi DUN Ajil yang dimenanginya selama tiga penggal sejak 1999 hingga 2008.

“Ketika tsunami politik pada 1999, tahun BN kalah, saya adalah antara empat wakil rakyat BN yang menang dan menyumbang kerusi untuk BN ketika itu. Rekod selama tiga penggal di DUN Ajil, pengundi yang berpihak kepada BN semakin bertambah, dengan jentera parti yang kuat, saya yakin BN akan terus menang di Hulu Terengganu,” katanya.

Din pula yang merupakan bekas pengerusi jawatankuasa belia dan sukan negeri pada 2004 berkata, pencalonan semula memberinya peluang membawa lebih pembangunan dan kemajuan kepada Parlimen Dungun jika BN diberi mandat oleh pengundi pada PRU kali ini.

“Dalam lima tahun ini BN bekerja keras membantu rakyat dari segenap lapisan masyarakat tidak kita di kawasan bandar atau di kampung-kampung, kita telah berusaha sehabis baik, menawarkan khidmat tidak kira pagi petang siang malam.

“Kita berharap rakyat dapat memahami hanya BN yang mampu membawa perubahan tidak kira dari segi sosial dan fizikal di Parlimen ini berbanding pihak yang satu lagi,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mohamed turut yakin dapat merampas kembali kerusi DUN Chukai kali ini kerana mempunyai kelebihan untuk mendapatkan pengundi Cina di kawasan itu berdasarkan perkhidmatan cemerlangnya sebagai wakil rakyat untuk tempoh dua penggal.

“Di Chukai, terdapat kira-kira 33,000 pengundi dan 3,800 daripadanya ialah pengundi Cina. Dengan prestasi wakil rakyat PAS yang agak kurang menyerlah berbanding perkhidmatan BN ketika ini serta kerja kuat jentera, insya-Allah DUN Chukai bakal menjadi milik kita semula," katanya.

Bagi Halim pula, beliau akan meneruskan perkhidmatan cemerlang BN di DUN Permaisuri berbekalkan pengalamannya sebagai naib ketua Umno bahagian Setiu sebelum ini dan berharap dapat memenanginya dengan majoriti lebih besar.

“Saya akan menggunakan sepenuhnya pengalaman sebelum ini sebagai wakil rakyat bagi mengekalkan rekod cemerlang BN di DUN Permaisuri yang sebelum ini dijaga dengan baik oleh penyandang, Datuk Seri Mohd Jidin Shafie yang kini meneruskan perjuangan sebagai calon di Parlimen Setiu,” katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS