Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

WAWANCARA I Apabila Arul Kanda Kandasamy dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB pada tahun 2015, tugas utamanya adalah untuk menangani masalah hutang.

Bagaimanapun beliau kemudian mendapati dirinya terpaksa mengambil tugas yang tiada dalam perjanjian.

"Ramai orang tanya kepada saya mengapa saya menyertai 1MDB. Apabila saya menerima tugas pada Disember 2014 dan mula bekerja pada Januari 2015, bunyi itu tidak lagi begitu kuat," katanya dalam satu wawancara bersama Malaysiakini.

Menurut Arul, beliau tidak hanya mengambil peranan yang tidak pernah dilakukan oleh CEO terdahulu, bahkan mengadakan ceramah untuk menjelaskan perkara mengenai 1MDB.

"Saya rasa saya buat ceramah lebih banyak daripada sesetengah ahli politik," katanya sambil ketawa.

Ditanya sama ada beliau mahu menyertai politik, Arul Kanda berkata beliau mahu memberi tumpuan di sektor korporat pada masa ini, tetapi tidak menolak kemungkinan itu pada masa akan datang.

"Nah, jangan pernah kata tak pernah. Kita semua memiliki banyak kerjaya dalam hidup dan jika bernasib baik- umur yang panjang, sihat dan produktif. Tetapi saya fikir pada masa ini, tumpuan saya adalah mengenai perkara korporat," katanya.


Baca: Arul Kanda kenal Jho Low sebelum isu 1MDB lagi


Arul Kanda berkata beliau mengikuti isu politik di tanah air, tetapi merasakan banyak isu tidak perlu dipolitikkan.

"Seperti 1MDB, ia merupakan isu perniagaan yang kemudian menjadi isu politik dan terus terang, banyak isu lain yang menjadi isu politik walaupun hakikatnya ia adalah perniagaan atau perkara yang seumpamanya," katanya.

Tak menyesal sertai 1MDB

Arul Kanda berkata beliau tidak menyesal menyertai 1MDB walaupun berdepan cabaran.

"Saya fikir ada baik dan buruk dan sudah tentu ada beberapa perkara yang saya harapkan kelainan atau lebih baik. Tetapi ada juga banyak perkara lain yang saya pelajari.

"Sebagai contoh, saya belajar bagaimana menangani media, ahli politik di pihak kerajaan dan pihak pembangkang. Saya mempunyai akses kepada ahli perniagaan di Kuala Lumpur, kenal orang dalam kerajaan. Saya mendapat banyak kawan, dan musuh juga, seperti kawan baik saya Tony Pua.

"Oleh itu, saya fikir, secara keseluruhannya saya berkembang dan belajar sebagai seorang individu. Sebagai seorang profesional, saya tidak fikir ramai yang mempunyai peluang untuk melakukan tugas yang rumit ini. Jadi, ringkasnya saya tak menyesal," katanya.

Merupakan anak seorang doktor kerajaan dan jurutera, anak jati Kelantan ini menerima pendidikan di Kolej Tentera Diraja di Sungai Besi.

Walaupun beliau menolak bertukar kerjaya dari korporat kepada politik pada masa ini, ia bukan kali pertama Arul Kanda memutuskan perkara seumpama itu.

Setelah menamatkan pengajian ijazah undang-undang dari London School of Economics dan sarjana dalam Undang-undang Kewangan Antarabangsa dari University College London, Arul Kanda dipanggil bertugas di bidang guaman di United Kingdom.

"Setelah lima tahun mendalami undang-undang, saya ketika itu mula bekerja di bidang guaman di London dan saya tidak mahu menjadi seorang peguam.

"Saya rasa pada waktu itu saya agak muda dan mungkin sedikit tidak matang.

"Saya mempunyai pandangan bagaimana undang-undang yang sepatutnya, dan sebaik sahaja menjadi pengamal, ada  beza antara teori dan realiti, dan saya anggap saya tak mampu menghubungkannya pada ketika itu dalam hidup saya," katanya.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS