Paling Popular
Terkini

PRU14 l BN Kelantan menggugurkan anggota dewan undangan negeri (ADUN) paling senior yang juga ketua pembangkang DUN, Datuk Nozula Mat Diah daripada senarai calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, keputusan akhir senarai calon itu dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak selaku pengerusi BN.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau (Nozula) di atas segala khidmat bakti selama 28 tahun sebagai ADUN Paloh.

"Sumbangan beliau tetap dikenang dan kita berharap Nozula akan membantu jentera BN untuk mencipta sejarah di Kelantan," katanya pada sidang media sebelum majlis pengumuman calon BN Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod Nozula merupakan ADUN paling lama berkhidmat untuk BN Kelantan dan beliau satu-satunya penyandang yang digugurkan kali ini.

Tampil 30 muka baru

Sementara itu Mustapa berkata, BN Kelantan menampilkan dua muka baru di peringkat parlimen dan 28 muka baru bagi kerusi DUN.

"Kita juga mempunyai lima calon wanita yang mana empat daripada mereka adalah muka baru.

"Ini adalah barisan terbaik yang diketengahkan merangkumi pimpinan politik melalui wakil sayap wanita, pemuda, puteri, pegawai kerajaan, swasta dan golongan agama," jelasnya.

Tambah beliau, gandingan calon berpengalaman dan tenaga muda itu diharap memberi nafas baru bagi memastikan BN Kelantan kekal relevan.

"Saya berharap semua jentera dan penyokong BN menerima baik senarai calon yang diputuskan kali ini. Kita perlu menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi dalam mengangkat perjuangan parti.

"PRU14 ini peluang terbaik kita untuk mencipta kemenangan di Kelantan selepas 28 tahun kita berjuang, " kata Mustapa yang juga penyandang anggota parlimen Jeli.

Lihat Komen
ADS