Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Muhyiddin sambut keputusan mahkamah dengan takbir
Diterbitkan:  Apr 23, 2018 2:47 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyambut keputusan mahkamah menggantung pembubaran sementara partinya dengan bertakbir, biar pun hanya melalui kenyataan media.

“Ya, hakim atas kepentingan awam telah menyampaikan alasan penghakiman bertulis.

“Semoga semua ini membawa kebaikan kepada negara Malaysia yang tercinta.

“Allahu akbar!” kata presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menggantung keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) yang membubarkan sementara pendaftaran BERSATU.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membenarkan permohonan parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan BERSATU diputuskan.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyidin berkata beliau bersyukur kepada Allah atas berita gembira itu.

Tetap guna logo PKR

Sementara itu, pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, Muhyiddin berkata calon BERSATU tetap akan menggunakan logo PKR meskipun Mahkamah Tinggi telah menggantung arahan pembubaran sementara oleh ROS.

Katanya, persetujuan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan meskipun semua parti komponen gabungan pembangkang itu boleh menggunakan logo masing-masing.

“Dengan keputusan mahkamah hari ini, bermakna kedudukan BERSATU belum dan tidak terbatal.Tiada halangan untuk BERSATU berfungsi sebagai parti politik yang sah.

“Kami telah memaklumkan beberapa kali mengenai persetujuan telah dicapai. Jadi, saya percaya apa sahaja status (pendaftaran) tidak akan menjejaskan kedudukan parti termasuk persiapan menjelang PRU-14,” katanya.


 

Lihat Komen
ADS